Demi Anak-Anak, Akta Kanak-Kanak Dipinda Selepas 13 Tahun


KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah membuat beberapa penambahbaikan ke atas Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] setelah mengambil kira isu-isu semasa termasuk peningkatan kes membabitkan kecuaian ibu bapa dalam hal penjagaan kanak-kanak.

Hasilnya, selepas memperoleh perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) diwartakan pada 25 Julai lalu.

Kini menjadi Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 [A1511], terdapat empat perkara utama dimasukkan ke dalamnya iaitu Daftar Kanak- Kanak, Perintah Khidmat Masyarakat (CSO), Penjagaan Berasaskan Keluarga dan Kenaikan Denda.

Bagi meningkatkan perlindungan dan keselamatan, maklumat dalam Daftar Kanak-Kanak diperluaskan dengan rekod pesalah kes membabitkan kanak-kanak, sekaligus membolehkan saringan dibuat sebelum seseorang dibenarkan mengendalikan mereka.


Bagi membantu proses pemulihan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah dan dikenakan hukuman penjara pula, pelaksanaan kerja komuniti, kaunseling dan program-program keinsafan dan keibubapaan dirangka di bawah Perintah Khidmat Masyarakat (CSO).

Program rehabilitasi, turut dirangka bagi ibu, bapa atau penjaga yang mendera dan mengabaikan kanak-kanak.

Manakala menerusi “Penjagaan Berasaskan Keluarga” kanak-kanak yang terlibat dalam kes pengabaian akan ditempatkan dalam suasana kekeluargaan.

Mahkamah akan memberi keutamaan kepada penjagaan berasaskan keluarga semasa mengeluarkan perintah perlindungan. Justeru, perintah penempatan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seharusnya dijadikan pilihan terakhir melainkan demi kepentingan kanak-kanak.

Selain itu, hukuman denda dan penjara dinaikkan termasuk bagi kesalahan di bawah Seksyen 31 iaitu mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak.


Nilai denda kini dianggarkan RM50,000 manakala hukuman penjara ditambah kepada 20 tahun.

“Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 lebih menyeluruh dengan merangkumi pelbagai aspek seperti perlindungan, pemeliharaan, pemulihan, perkembangan dan penyertaan.

“Kementerian akan menemui masyarakat bagi mengadakan kempen kesedaran berkenaan undang-undang dan memastikan semua agensi bersiap sedia sepenuhnya,” jelas Menteri KPWKM Datuk Rohani Abdul Karim.

Rang Undang-undang Kanak-kanak (Pindaan) 2015 diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 April dan pada 4 Mei oleh Dewan Negara. –Kedahnews.com