Penyanyi dari Indonesia iaitu Datuk Rossa kesal apabila dituduh sudah bernikah dengan kerabat diraja dari Pahang dan menganggap gosip itu sebagai satu fitnah.
Rossa atau nama sebenarnya Rossa Roslaina Sri Handayani, 35, turut menafikan dakwaan kononnya dia bermesra-mesraan dengan mana-mana lelaki di sebuah hotel di Sarawak baru-baru ini.
"Terima kasih atas waktu dan perhatiannya menulis tentang saya dan doa untuk kebahagiaan saya. Tetapi ketika saya membaca rasanya saya seperti difitnah kerana saya tidak pernah bermesraan dengan siapa pun di hotel seperti yang disebutkan.
"Kali terakhir saya ke Sarawak adalah untuk persembahan Tahun Baru Cina," ujarnya menerusi Instagram miliknya pada malam Isnin.
Rossa menjelaskan gosip di ruangan pojok di sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu yang melaporkan dia sudah berakhwin dengan seorang kerabat diraja dari Pahang.
Laporan itu turut mengatakan penyanyi lagu Ayat-Ayat Cinta ini bermesraan dengan seorang lelaki dipercayai suaminya di sebuah hotel terkemuka di Sarawak baru-baru ini.
Dalam pada itu, Rossa meminta agar pihak yang membuat tuduhan tersebut tampil dengan foto sebagai bukti bagi mengukuhkan berita berkenaan.
"Jikalau ada foto yang menunjukkan hal tersebut tolong kongsikan tapi jika tiada bukti tidak elok ditulis sebagai berita kerana saya merasa dirugikan.
"Terima kasih dan semoga ada jalan untuk memperbaiki hal yang tidak baik ini," tulisnya.
Rossa antara artis dari Indonesia yang kerap berkunjung ke negara ini untuk membuat persembahan dan beliau dikurniakan darjah kebesaran dari Pahang yang membawa gelaran Datuk.
Sumber: mStar