KECOH apabila ibu kepada juara program Akademi Fantasia, Sufi Rashid iaitu Irma Suriani dikatakan telah memuat naik status melabel penyanyi itu sebagai anak derhaka.
Susulan itu, Sufi tampil menjelaskan situasi yang berlaku dalam keluarganya.
Menurut Sufi, memang benar berlakunya salah faham bersama ibunya namun semuanya telah selesai.
“Setiap keluarga ada masalah tersendiri dan setiap ibu juga ada karakter masing-masing. Benar ibu saya suka marah-marah dan pastinya mereka yang tidak kenali ibu saya, apabila baca status yang dimuatnaiknya itu akan mengundang salah faham.
“Tambahan pula saya sebagai artis orang kenal dan mulalah kaitkan saya dengan ayahlah, ibulah. Saya akui saya dan ibu memang ada perselisihan faham sebelum ini namun kami sudah selesaikannya.
“Ibu seorang yang suka berkongsi dan meluah kata-kata di laman Facebook, baginya laman sosial itu sangat penting. Saya telah berpesan kepadanya agar tidak meluah perasaan menerusi laman sosial lagi.
“Iyalah, apabila marah memang setiap perbuatan kita tidak sedar dan bila sudah reda baru akan sedar atas apa yang sudah terjadi. Alhamdulillah ibu telah sedar dan memadam status tersebut,” kata Sufi, memetik Astro Gempak.
Dalam pada itu, Sufi memberitahu, ibunya kini cuba memahami kerjayanya sebagai penyanyi. –Kedahnews.com