Dilarang Main Pokemon Go Dalam Kem Tentera


SUNGAI PETANI - Anggota tentera darat tidak digalakkan bermain aplikasi permainan Pokemon Go di mana juga mereka berada terutamanya kawasan kem kerana bimbang akan ancaman keselamatan negara termasuk keselamatan anggota itu sendiri.

Panglima Tentera Darat, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, langkah-langkah susulan untuk membendung permainan itu akan diambil berikutan aplikasi berkenaan banyak negatifnya dibandingkan manfaatnya  terutama aspek keselamatan negara dan juga pemain itu sendiri.

"Tidak mustahil, muncul karakter dalam permainan Pokemon Go berada di mana-mana termasuk  di kawasan kem namun kita tidak galakkan anggota sendiri menggunakan aplikasi ini di dalam kem atau mana sahaja mereka berada  kerana ia adalah satu permainan bahayakan keselamatan.

"Mungkin karakter itu berada atas bumbung, ia membabitkan soal keselamatan diri anggota itu sendiri. Kalau, karakter berada di kawasan larangan ia melibatkan soal privasi dan keselamatan negara. Kalau ada anggota memegang gajet memburu karakter dalam kem sendiri. Kita mungkin akan ambil tindakan ke atas mereka," katanya pada sidang media, selepas menghadiri Majlis Perbarisan Penghargaan Sempena Persaraan, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud, diadakan di Padang Kawad 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mek) Kem Lapangan Terbang, di sini, pagi semalam.

Menurutnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang meneliti satu pendekatan menyeluruh dan bersama bagi membendung permainan itu dalam kalangan anggota tentera.

"Kebimbangan kami dalam aplikasi permainan Pokemon Go adalah dari segi keselamatan negara termasuklah sama ada ianya memberi ancaman terhadap privasi dan keselamatan kem, peralatan atau pun anggota sendiri kerana ianya menggunakan Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) dimana pemain boleh merakamkan gambar lokasi menerusi kamera yang turut disambungkan dengan talian internet.

"Dulu pun ada,  larangan berkongsi lokasi atau check point melalui aplikasi menerusi WhatsApp dan Waze di lokasi-lokasi tertentu yang sudah dikeluarkan arahan dan batasan. Saya berharap larangan yang sama akan dibuat," katanya.

Raja Mohamed Affandi berkata, walaupun belum ada satu ketetapan bersama, ATM merupakan satu-satunya organisasi yang melindungi keselamatan negara berada di tahap yang tertinggi akan memandang serius terhadap isu berkenaan dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.

"Kami adalah sebuah organisasi yang menentukan keselamatan negara berada pada tahap yang paling tinggi, ATM  akan bermuafakat meneliti aplikasi itu secara mendalam dan apakah tindakan perlu diambil.

"Jika, ia melibatkan soal keselamatan boleh memberi ancaman terhadap kerahsiaan atau keselamatan negara, maka pihak ATM tidak akan berkompromi dalam perkara berkaitan yang menjadi asas kemakmuran dan kesejahteraan negara.

"Saya yakin, ATM akan mengambil kaedah ataupun pendekatan sesuai seperti tindakan membendung permainan berkenaan dengan mengeluarkan arahan batasan dan peraturan yang bersesuaian ," katanya.

Sumber: Sinar Harian