Dr Norhizan Sahkan Guru Kritikal Disyaki Jangkitan Kencing Tikus


ALOR SETAR - Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail mengesahkan bahawa seorang guru mengalami simptom jangkitan leptospirosis atau lebih dikenali sebagai "kencing tikus" dalam pemeriksaan awal pihak hospital.

Menurut beliau, guru berkenaan masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan rawatan rapi dari doktor pakar selain sampel darahnya telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur untuk pengesahan lanjut.

"Mangsa berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan rawatan rapi daripada pakar perubatan," katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Guru berkenaan, Mohd Yusri Yaccob telah dimasukkan ke Hospital Jitra pada 31 Julai lalu setelah mengalami demam dan muntah-muntah selepas mengikuti satu aktiviti berkayak di Sungai Ketil, Baling.

Menurut isterinya, Nuri Yana Omar, pemeriksaan doktor pada mulanya mengesyaki suaminya itu mengalami masalah jantung kerana degupan jantung yang lemah sebelum kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 2 Ogos..

"Hasil pemeriksaan darah mendapati suami saya positif terkena jangkitan kencing tikus dan dia terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selepas mengalami kegagalan buah pinggang, hati dan jantung," katanya, memetik Bernama, semalam.

Jelas Nuri Yana lagi, suaminya yang merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Seri Indera Putera, Ayer Hitam itu berkunjung ke Sungai Ketil pada 15 Julai lalu bersama beberapa guru dan murid sekolah untuk menjalani aktiviti berkayak dan memanjat gunung di kawasan berkenaan.

Walau bagaimanapun, Dr Norhizan Ismail dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Pejabat Kesihatan Daerah Baling telah memberitahu bahawa mereka tidak pernah menerima sebarang laporan kes berkaitan kencing tikus di lokasi yang disyaki. -Kedahnews.com