Dua Lelaki Mangsa Pertama Pokemon Go Di Kedah?


SUNGAI PETANI – Dua lelaki yang sedang leka bermain permainan maya Pokemon Go cedera setelah dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Bakar Arang, dekat sini, awal semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md. Zukir Md. Isa berkata dalam kejadian 2.30 pagi, Tan Chin Kang, 35, dan Teoh Koon Ee, 30, ketika itu sedang berdiri di hadapan sebuah kedai sambil bermain permainan tersebut sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna putih.

“Pemandu kereta terbabit bagaimanapun terus meninggalkan tempat kejadian, manakala Tan dan Teoh masing-masing mengalami cedera ringan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Md. Zukir berkata Tan yang merupakan seorang pengurus kilang mengalami luka pada kaki kiri manakala Teoh yang bekerja sebagai jurujual mengalami luka pada muka, kepala, tangan dan kaki.

Beliau berkata mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk mendapatkan rawatan.

Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. – BERNAMA