Fitnah: Pemilik Facebook Bakal Berdepan Tindakan Undang-Undang

ALOR SETAR - Seorang pengguna Facebook dijangka bakal berdepan tindakan undang-undang ekoran memuat naik satu "posting" yang berunsur fitnah terhadap Ahli Dewan Negara, Senator Shahanim Mohd Yusoff baru-baru ini.

Pemilik akaun tersebut yang hanya dikenali sebagai "Fauziah Deraman" menulis kononnya senator itu diberikan 21 kontrak kantin sekolah di negeri Kedah.

"Dia gondol buah 21 kanten sekolah diKedah....Dapat pingat emas ni.Kesin rakyat marhaein negeri Kedah melilih air lior.Hidup UMNO...," tulisnya di laman Facebook miliknya itu.

Selain itu, pemilik akaun Facebook itu turut melemparkan persepsi negatif terhadap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani tersebut, kononnya perlu mendapatkan surat sokongan dari beliau sebelum memohon tender dari Kementerian Pendidikan.

"Sesiapa nak dpat tender kementerian pendidikan seharusnya dapat surat sokongan dari Shahanim dulu......hehehehe....jangan marah akaq ini kebenaran bukan auta," tulisnya lagi.


Shahanim ketika dihubungi memberitahu Kedahnews.com bahawa beliau akan membuat satu laporan polis terhadap pemilik akaun tersebut dan laporan susulan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kemudiannya.

"Saya akan buat satu laporan polis terhadap tukang fitnah itu malam ni. Kemudian saya akan lapor pada SKMM, jika perlu saya akan saman.

"Saya juga yakin tuduhan itu bermotifkan fitnah. Sebab saya tak pernah keluarkan sekeping pun surat sokongan untuk tujuan seperti yang didakwa. Jika benar ada pun, ia adalah surat palsu yang mungkin sengaja direka-reka," tegasnya.

Beliau turut mencabar "Fauziah" supaya mengemukakan bukti yang sahih berhubung tuduhan itu.

"Saya cabar dia buktikan apa yang dia tulis tu. Zaman sekarang ni fitnah makin melampau-lampau di media sosial, kononnya tuduhan mereka benar, kononnya kebenaran pasti menjelma.. padahal tipu, bohong, fitnah.

"Saya yakin menjelang pilihan raya ini, mereka akan lebih giat memfitnah. Mereka pernah cuba aibkan saya dan menteri (Datuk Seri Mahzir Khalid) sebelum ini, dan tidak mustahil perkara yang sama berulang lagi kali ini," tegasnya.

Kata Shahanim, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap pemilik Facebook berkenaan sekiranya pihak berkuasa dapat mengesan dan mengenal pasti individu tersebut.-Kedahnews.com