Gadis Potong Lidah, Ditawarkan Kepada Tuhannya


SEORANG gadis berusia 19 tahun di India mengejutkan ramai apabila nekad membuat keputusan memotong lidahnya dengan pisau untuk ditawarkan kepada Dewi Kali.

Aarti Dubei berbuat sedemikian selepas dikatakan konon bermimpi dengan Tuhan Kali yang menuntut dia mengorbankan lidahnya sebagai pertukaran agar hajatnya dapat ditunaikan.

Aarti yang merupakan pelajar dari Kolej TRS melakukan upacara itu di kuil Kali di bandar Reeva, Madhya Pradesh.

Ketika upacara korban itu, Aarti dilaporkan pengsan serta-merta selepas memotong lidahnya itu.


Pun begitu, dia sedar semula lima jam kemudian dan bangun seperti biasa untuk menamatkan ritualnya termasuk mengelilingi kuil tersebut.

Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan yang mengetahui kejadian itu segera memanggil bantuan doktor.

Menurut pemeriksaan doktor, keadaan luka Aarti tidak teruk sebelum dibenarkan pulang untuk dirawat.

Dalam pada itu, tidak diketahui sama ada lidahnya disambung semula atau tidak.


Sementara itu, seorang wartawan tempatan, Shyam Mishra yang menyaksikan kejadian itu mengaku terkejut melihat apa yang dilakukan Aarti kerana dia seorang gadis berpendidikan.

“Memang terdapat beberapa kejadian orang ramai menawarkan organ mereka kepada tuhan, dengan harapan impian mereka tertunai. Tetapi dalam kes mengejutkan ini, gadis itu berpelajaran.

“Selalunya yang mempercayai benda karut seperti ini ialah mereka yang buta huruf. Dengan Aarti yang bependidikan kolej melakukan pengorbanan seperti itu, ia sudah pasti menarik perhatian orang ramai,” katanya. – Kedahnews.com