Gaji Minimum Baru Disasar Tarik Tenaga Kerja Tempatan


SUNGAI PETANI - Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2016 yang dikuatkuasakan Julai lalu diharap menarik minat lebih ramai pencari kerja terutama dalam sektor yang kini dikuasai tenaga kerja asing.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Mutallib, berkata gaji minimum RM1,000 bagi Semenanjung dan RM920 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan itu turut diharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

"Penggunaan tenaga kerja asing menyebabkan pengaliran keluar wang dan ini merugikan negara, ...jadi ini antara usaha untuk mengelak perkara itu berlaku," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Hari Kerjaya Kebangsaan Train Ride dan Kembara Kerjaya peringkat negeri Kedah 2016 di Stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Sungai Petani, di sini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi negeri, Datuk Noor Sabrina Mohd Noor.

Lebih 350 majikan menawarkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan menerusi Karnival Pekerjaan yang dianjurkan sempena program itu termasuklah menerusi Train Ride dan Kembara Kerjaya yang dilaksanakan di empat lokasi iaitu Kuala Lumpur; Ipoh, Perak; Arau, Perlis dan Sungai Petani, selaku destinasi akhir.

Sumber: Berita Harian