Getir: Beregu Lelaki, Wanita Negara Bertemu Beregu Nombor 1 Dunia


RIO DE JANEIRO – Kebimbangan beregu lelaki dan wanita negara akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka disahkan bertemu beregu nombor satu dunia dalam pusingan suku akhir Sukan Olimpik Rio pada hari ini.

Beregu lelaki negara Goh V. Shem-Tan Wee Kiong diundi bertemu Lee Yong Dae-Yoon Yeon Seong dari Korea Selatan, yang mengalahkan mereka sebanyak lima kali dalam enam pertemuan sebelum ini.

Beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khee Woon pula akan berdepan dengan Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi dari Jepun, yang menewaskan mereka dalam kesemua tujuh perlawanan sebelum ini.

Semasa ditemui di sini, V.Shem berkata seboleh-bolehnya mereka mahu mengelak daripada bertemu dengan beregu Korea Selatan itu pada pusingan suku akhir, namun bersedia menyahut cabaran itu selepas kemenangan menyuntik semangat semasa menentang beregu nombor empat dunia, Fu Haifeng-Zhang Nan dari China dalam perlawanan kumpulan.

Pasangan itu, yang kini menduduki tempat ke-12 dunia, mengalahkan beregu China itu 16-21, 21-15, 21-18 untuk mengungguli kedudukan kumpulan.”

Kami bersedia berdepan sesiapa pun selepas mengalahkan beregu China…,”kata V.Shem.

Sementara itu, Vivian turut menyuarakan kebimbangan untuk berdepan dengan beregu Jepun berkenaan.

“Lebih baik kami beregu lain dalam pusingan suku akhir berbanding pasangan Jepun kerana kami belum pernah dapat menewaskan mereka sebelum ini,”katanya.

Suku Akhir:

Beregu Lelaki:

[13] Ivanov Vladimir/Sozonov Ivan (RUS) lwn [5] Chai Biao/Hong Wei (CHN)

[12] Goh V.Shem/Tan Wee Kiong (MAS) lwn [1] Lee Yong Dae/Yoo Yeon Seong (KOR)

[4]Fu Haifeng/Zhang Nan (CHN) lwn [3] Kim Gi Jung/Kim Sa Rang (KOR)

[22] Marcus Ellis/Langridge Chris (GBR) lwn [8] Endo Hiroyuki/Hayakawa Kenichi (JAP).

Beregu Wanita:

[1] Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi (JPN) lwn [15] Vivian Hoo/Woon Khie Wei (MAS)

[4] Jung Kyung Eun/Shin Seung Chan (KOR) lwn [11] Eefje Muskens /Selena Piek (NED)

[2] Tang Yuanting/Yu Yang (CHN) lwn [3] Nitya Krishinda Maheswari/Greysia Polii (INA)

[6] Christinna Pesdersen/Kamilla Rytter Juhl (DEN) lwn [8] Chang Ye Na/Lee So

Hee (KOR).

NOTA: Kurungan [] menunjukkan kedudukan dalam ranking dunia. – BERNAMA