Guru Ugut Pecah Kepala Jika Pecah Rahsia Ramas Dada

Gambar Hiasan
JULAU – Seorang guru lelaki bukan sahaja melakukan jenayah cabul terhadap seorang murid perempuan, malah turut mengugut mahu memecahkan kepala murid itu jika rahsianya terbongkar.

Kejadian gangguan seksual tersebut dikatakan berlaku pada penghujung Julai lalu, apabila guru terbabit pada mulanya memanggil murid tersebut ke pejabatnya sebelum mengunci pintu.

Memetik laporan sebuah portal, mangsa yang berusia 12 tahun telah dipeluk dari belakang sebelum bahagian dadanya diramas guru tersebut, yang mana mengakibatkan mangsa menjerit ketakutan.

Difahamkan jeritan mangsa didengari oleh guru besar dan seorang guru lain sekolah berkenaan yang biliknya terletak bersebelahan, namun tiada tindakan yang diambil berhubung kejadian tersebut.

Guru terbabit kemudian memberi amaran kepada mangsa agar tidak mendedahkan perlakuan terkutuknya atau dia akan bertindak kejam memecah kepala mangsa.

Ia bukannya kejadian pertama melibatkan guru pedofil terbabit kerana pada penghujung tahun 2015, dia pernah memegang bahu murid yang sama.

Sebaik mengetahui tindakan kejam guru terbabit, bapa mangsa yang juga seorang petani berusia 44 tahun telah membuat laporan polis di Balai Polis Julau pada tengah hari Sabtu lalu. –Kedahnews.com