Ia Soal "Ekstrimis", Bukan Soal "Islamik" Atau "Tidak Islamik" - Mahdzir


ALOR SETAR - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan bahawa kementeriannya tidak akan sesekali membenarkan fahaman ekstrimis Islam seperti DAESH menular ke sekolah kebangsaan di negara ini.

Jelas Mahdzir, ia tidak seperti yang dilaporkan sebuah portal yang kononnya beliau tidak menjadi sekolah kebangsaan sebagai "terlalu Islamik" kerana kenyataannya sebelum ini tiada kaitan tentang "Islamik" atau "tidak Islamik".

"Dalam hal ini khususnya di SK (sekolah kebangsaan), Kementerian Pendidikam Malaysia (KPM) ingin menjelaskan bahawa tidak timbul isu berkaitan sama ada sekolah itu Islamik atau tidak Islamik.

"Ia merupakan sistem yang dilaksanakan berlandaskan dasar-dasar yang ditetapkan seperti yang ditetapkan dalam akta (Akta Pendidikan 1996) tersebut.

"Apa yang penting, semua murid dari semua latar belakang serta kaum memperoleh akses pembelajaran seperti yang telah disediakan oleh Kerajaan termasuk pembelajaran bahasa ibunda seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil di sekolah kebangsaan.

"Saya bermaksud yang SK (Sekolah Kebangsaan) yang tujuan penubuhannya telah dijelaskan di atas, tidak akan dibenarkan menjadi medan untuk penyebaran fahaman-fahaman Islam yang melampau seperti DAESH dan lain-lain bentuk ajaran sesat yang menjurus ke arah keganasan," jelas Mahdzir di laman Facebook rasminya, semalam.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan laporan bertajuk "Kami tak akan biarkan Sekolah Kebangsaan jadi terlalu Islamik" yang difahamkan tidak tepat sebagaimana yang dinyatakan Mahdzir dalam kenyataan beliau sebelum itu. -Kedahnews.com