Ibu Bapa Usah Gusar Prestasi Akademik Anak Sederhana - Nik Abduh


KUALA LUMPUR – Golongan ibu bapa diseru supaya tidak berasa gusar jika prestasi akademik anak-anak mereka di sekolah berada pada tahap sederhana.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sebahagian individu yang cemerlang pada hari ini mempunyai tahap pelajaran yang sederhana sewaktu di sekolah.

“Jangan gusar anak-anak kita sederhana sahaja dalam pelajarannya di sekolah walaupun kita mahukan yang lebih daripada mereka.

“Lihatlah orang-orang yang cemerlang hari ini, sebahagian besar mereka sederhana sahaja pelajaran mereka dahulu,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Nik Mohamad Abduh berkata, ibu bapa perlu memahami bahawa kesederhanaan yang akan membantu anak-anak mereka mengenali diri dengan lebih baik pada masa mendatang.

Malah, kata beliau, kecemerlangan sebenar akan diperolehi apabila orang cemerlang memilih untuk bersederhana dalam kehidupan kerana kesederhanaan itu menakjubkan. –Kedahnews.com