Ibu Bunuh 2 Anak Dalam Tab Mandi, Jiran Anggap Gurauan


HOUSTON – Seorang wanita membunuh dua anaknya yang masing-masing berusia lima dan tujuh tahun dengan melemaskan mereka dalam tab mandi sebelum menyembunyikan mayat mereka di bawah rumah jiran.

Ketika dia membuang sampah, jirannya bertanya di mana anaknya dan wanita itu, Sheborah Thomas, 30, malah selamba memberitahu dia sudah membunuh mereka namun jirannya itu menganggap dia bergurau.

Wanita itu kemudian memberitahu dia mahu berpindah dan jirannya membantu dia berkemas.

Jurucakap polis Houston, Kese Smith, berkata lelaki berkenaan sekali lagi bertanya di mana anak-anaknya dan wanita itu memberi jawapan yang sama menyebabkan jirannya berasa pelik lalu membawa wanita berkenaan ke balai polis.


Menurutnya, Sheborah cuba menanam mayat dua anaknya itu namun selepas mendapati ia sukar dilakukan, dia menyembunyikan mayat di bawah rumah jirannya.

“Polis masih berusaha mengenal pasti motif wanita itu membunuh anak-anaknya serta sedang memastikan tahap kesihatan mentalnya. Sebelum ini, polis pernah ke rumahnya namun tiada ‘masalah besar’,” katanya.

Jurucakap Jabatan Keluarga dan Perkhidmatan Perlindungan Texas, Tejal Patel, berkata mereka pernah mengunjungi keluarga itu sebelum ini namun enggan menjelaskan sebab lawatan itu.

Sheborah dan anak-anaknya berpindah ke kawasan berkenaan beberapa bulan lalu dan mereka sering melihat dia membawa anak-anaknya ke taman permainan. – AP