Imigresen Kaji Ciri Baru Untuk Sistem Pasport Dalam Talian


PETALING JAYA - Jabatan Imigresen akan mengkaji beberapa ciri baharu bagi pelaksanaan sistem permohonan dan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) secara dalam talian yang dijangka beroperasi semula bulan depan.

Antara ciri yang akan dikaji adalah aspek keselamatan dan kecekapan yang dipertingkatkan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam berkaitan pasport lebih selamat, mudah dan lancar.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baharu dilantik, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, dua ciri baharu - keselamatan iaitu permohonan dijamin lebih selamat dan memastikan kesahihannya; dan kecekapan dari segi 'real time' bagi membolehkan permohonan lebih cepat untuk diproses.

"Sistem pasport dalam talian bukan pertama kali kita laksanakan cuma sebelum ini ditangguhkan kerana ada isu teknikal yang perlu diatasi.

"Bagaimanapun dengan sistem baharu nanti, ia bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kesesakan di kaunter bagi permohonan pasport tetapi juga perkhidmatannya lebih selamat dan cekap," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai masalah berkaitan permohonan pasport akan dapat diatasi tidak lama lagi dengan hasrat jabatan itu untuk melaksanakan perkhidmatan dalam talian, dijangka bermula pada bulan depan.

Mustafar berkata, perkhidmatan bagi permohonan pasport yang lebih cekap merupakan antara keutamaan jabatan itu.

"Perkara ini memang menjadi antara keutamaan dan dalam penelitian berterusan saya dan pegawai-pegawai Jabatan Imigresen agar sistem penyampaian perkhidmatan awam, khususnya mengenai pengurusan permohonan baharu dan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabanga (PMA) sentiasa dipertingkatkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad pula berkata, beberapa perkara semasa turut dikaji di samping meneliti kelemahan berdasarkan sistem terdahulu.

Katanya, ia termasuk mengkaji perisian (software) baharu yang dipertingkatkan bagi pelaksanaan sistem dalam talian tersebut.

"Penggunaan perisian ini, antara lain dapat mengatasi masalah teknikal berkaitan dengan gambar pemohon, selain melancarkan proses permohonan.

"Keduanya, mengenai kesahihan permohonan untuk memastikan pemohon yang sebenar semasa serahan yang akan melibatkan pendaftaran biometrik," katanya.

Tambah Mohd Zulfikar, sistem dalam talian itu nanti akan melalui 'user acceptance testing' (UAT) terlebih dahulu bagi memastikan sistem berkenaan lancar dan boleh dilaksanakan.

"Jika sistem dalam talian dah 'ready', kita akan melaksanakannya untuk 'connection' dengan ibu pejabat dahulu dan seterusnya cawangan-cawangan lain secara berperingkat," ujar Mohd Zulfikar.

Sumber: mStar