Imigresen Kedah Berkas 21 PATI Di Alor Setar

ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 12 pendatang asing tanpa izin (Pati) pelbagai warganegara dalam 'Op Ikrar' di tiga kedai makan di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Rizal Abidin berkata, operasi pada jam 5.30 petang itu melibatkan pemeriksaan di Jalan Putra, Pekan Simpang Kuala dan Bukit Pinang, di sini.

"Hasil pemeriksaan, lima lelaki serta seorang wanita Thailand, empat lelaki Pakistan dan dua lelaki Myanmar berumur antara 17 dan 52 tahun ditahan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas lawatan sosial.

Mohd Rizal berkata, kesemua mereka yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik. - Bernama