Imigresen Kedah Tahan 10 PATI Di Jitra, Pokok Sena


ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Pakistan dan Thailand dalam dua operasi berasingan di Jitra dan Pokok Sena, kelmarin.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kedah Mohd Shahrir Khalil berkata tiga lelaki warga Pakistan berumur antara 36 dan 39 tahun ditahan dalam ‘Op Sapu’ di premis perniagaan yang menjual aiskrim di Kampung Seberang, Jitra pada 12.15 tengah hari.

Beliau berkata lima lelaki serta dua wanita warga Thailand berumur antara 16 dan0 35 tahun pula ditahan dalam ‘Op Ikrar’ di sebuah kedai makan Tom Yam di Taman Jabi, Pokok Sena pada 6.40 petang.

Katanya kesemua mereka ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahgunakan pas lawatan.

Kesemua yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan sebelum dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA