India Keluar Waran Tangkap Terhadap Ananda Krishnan

Tan Sri Ananda Krishnan
Biro Penyiasatan Pusat India (CBI) telah memohon waran tangkap terhadap tokoh perniagaan Tan Sri Ananda Krishnan dan tiga yang lain dalam satu skandal pengubahan wang haram di New Delhi, lapor akhbar The New Indian Express.

Laporan hari Selasa itu mengatakan bahawa CBI telah melakukan permohonan kepada mahkamah khas CBI untuk mengeluarkan waran tangkap ke atas Ananda, Maxis Communication Berhad, Astro All Asia Network dan ketua eksekutifnya Augustus Ralph Marshall.

Waran tangkap itu dikatakan berkenaan kes pengubahan wang haram syarikat telekomunukasi Aircel-Maxis yang melibatkan dua bekas menteri Telekom India, Dayanidhi Maran dan adiknya, Kalanithi Maran.

Permohonan itu dibacakan oleh agensi siasatan dihadapan hakim khas O.P. Saini menyatakan saman yang dikeluarkan tidak dilayan.

Pada 25 Mei lalu, Direktorat Penguatkuasaan (ED) telah mengeluarkan saman di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (PMLA) untuk menyiasat Ananda, menurut laporan itu lagi.

Satu lagi saman dikeluarkan keesokan harinya untuk menyiasat Marshall dan kedua-dua saman telah dihantar ke Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri India.

Sementara itu, bidang kuasa mahkamah khas 2G, iaitu sebuah mahkamah yang diwujudkan untuk membicarakan sebarang kesalahan berkenaan penipuan 2G, telah dicabar oleh adik-beradik Maran.

Kedua-dua Dayanidhi dan Kalanithi menyatakan bahawa kes pengubahan wang haram Aircel-Maxis itu bukan sebahagian daripada penipuan spektrum 2G maka tidak boleh didengari oleh hakim yang ditugaskan untuk menyelesaikan kes-kes berkaitan penipuan 2G.

Laporan lain pulan menyatakan bahawa skandal penipuan spektrum 2G itu merupakan kes penipuan telekomunikasi dan skandal politik India di mana pegawai kerajaan republik itu telah merendahkan kadar lesen pemindahan frekuensi syarikat telefon bimbit, yang kemudiannya digunakan untuk mewujudkan langgangan spektrum 2G bagi telefon bimbit.

Dilaporkan selain Ananda, Marshall dan dua syarikat tersebut, tertuduh yang lain adalah Sun Direct TV Pvt. Ltd. (SDTPL), South Asia Entertainment Holding Ltd. (SAFL), adik-beradik Maran dan pengarah urusan SAFL, Kavery Kalanithi.

ED pula telah menentang rayuan jaminan kepada adik-beradik Maran kerana kes pengubahan wang haram masih dalam siasatan dan kemungkinan ia boleh mengganggu bukti dan boleh mempengaruhi saksi.

Mahkamah menetapkan pendengaran kes pada 27 Ogos.

Pada bulan Jun lalu, CBI telah menyatakan bahawa pihak berkuasa Malaysia telah memberi respon terhadap isu tersebut.

Dokumen yang dihantar oleh pegawai Malaysia menyatakan bahawa undang-undang pertukaran asing telah dilanggar dan diubah untuk memihak kepada Maxis.

Pada tahun 2011, CBI telah mendaftarkan kes terhadap Dayanidhi, Kalanidhi, Marshall dan Ananda, selaian daripada tiga syarikat lain atas pertuduhan rasuah.

Agensi penyiasatan itu menyatakan bahawa quid pro quo (sesuatu yang dilakukan dengan niat mendapat balasan) bagi pihak Dayanidhi telah dilakukan semasa penyiasatan dijalankan.-Kedahnews.com