WATAK Dr. Indiana Jones lakonan Harrison Ford dalam filem Raiders of The Lost Ark sangat patuh kepada agamanya.
Antara sumbangannya sebagai ahli arkeologi dalam filem itu adalah mencari dan menyelamatkan peti barang peninggalan Nabi Musa a.s. daripada jatuh ke tangan Nazi Jerman yang berhasrat menakluki dunia.
Peti yang digelar “The Ark of Covenant” itu dikatakan mempunyai kuasa ketuhanan yang menjadi penghubung antara dunia dan langit. Kononnya ia juga memiliki kuasa tidak terbatas yang mahu dieksploit pihak Nazi menjadi senjata pemusnah.
Inilah fiksyen yang dibawa oleh pengarah Yahudi dari Hollywood, Steven Spielberg. Filem aksi ini pernah pecah panggung pada zaman kegemilangannya sekitar tahun 1981. Pun begitu, ramai yang kurang perasan bahawa kisah peti peninggalan Nabi Musa a.s. itu turut disebut dalam al-Quran.
“Dan Nabi mereka berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya daripada Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa daripada Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian daripada apa yang ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang beriman,” (al-Baqarah [2:248]).
TALUT DAN TABUT
Kisah ini disebut dalam ayat 246 – 251 surah al-Baqarah. Ringkasnya, selepas zaman Nabi Musa, Bani Israel ditindas oleh ramai penjajah antaranya Raja Jalut. Peti yang menyimpan barang peninggalan Nabi Musa yang menjadi lambang kemuliaan Bani Israel turut hilang.
Ketika kegawatan ini, bangsawan Bani Israel meminta agar seorang nabi dalam kalangan mereka yang dikatakan bernama Nabi Samwil a.s. agar memohon petunjuk daripada Allah siapakah yang layak dilantik sebagai raja baharu.
Allah memberikan petunjuk bahawa Talut yang bukan daripada darah bangsawan menjadi raja. Pelantikan ini pada awalnya tidak dipersetujui golongan bangsawan, sehinggalah Allah membuktikan kelayakan Talut dengan penghantaran “peti yang menyimpan barang peninggalan Nabi Musa dan Harun” di hadapan rumah Talut (Tafsir Ibn Kathir dan al-Razi).
Penghantaran peti secara ajaib kepada Raja Talut menjadi sumber inspirasi baharu bagi Bani Israel untuk kembali kepada ajaran Nabi Musa. Kisah ini menunjukkan kemuliaan Bani Israel terletak pada sejauh mana mereka mahu kembali kepada ajaran Nabi Musa.
Saya juga tidak menemukan riwayat yang menceritakan Bani Israel berkumpul dalam dewan besar mencium atau menjunjung barangan dalam peti ini sebagai suatu lambang menambah keberkatan.
Perihal berkat barangan para nabi pernah disentuh Allah dalam kisah Nabi Yusuf a.s. iaitu baginda menghantar bajunya yang penuh berkat bersulam mukjizat untuk merawat sakit mata ayahandanya yang lama menderita sakit rindu:
“Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya dia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya,” (Yusuf [12:93]).
Benar sekali! Baju Yusuf mengandungi keberkatan yang langsung menyembuhkan sakit Nabi Yaakub a.s.:
“Maka sebaik sahaja datang pembawa khabar berita yang menggembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu dia celik kembali seperti sediakala. Nabi Yaakub berkata: “Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) daripada Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?,” (Yusuf [12:96]).
Ayuh! Marilah kita bertabarruk dengan peninggalan Rasulullah SAW yang pasti asli iaitu al-Quran dan Sunah.
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang kafir,” (Ali ‘Imran [3:31-32]).
Sumber: ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ/Utusan