Indonesia Beri Amaran Krisis Jerebu Mungkin Berulang


JAKARTA - Negara-negara jiran Indonesia akan berdepan masalah jerebu yang sama seperti dihadapi sebelum ini jika semua pihak berkaitan tidak melaksanakan langkah-langkah sukar untuk memadamkan kebakaran tanah melibatkan beberapa kawasan di wilayah Riau dengan segera.

"Pada masa ini, angin cenderung bertiup ke arah tenggara. Jika asap jerebu berlaku, kemungkinan besar ia akan dibawa oleh angin ke negara-negara jiran kita," kata Ketua Badan Meteorologi, Kilmatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia, Sugarin di Pekanbaru, Riau Isnin.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh agensi, satelit Terra dan Aqua mengesan 54 titik panas di Rokan Hilir pada pagi Isnin, menjadikannya kawasan yang mempunyai jumlah titik panas tertinggi di Riau.

Sementara itu, Dumai dikesan mempunyai 15 titik panas, diikuti oleh Bengkalis (lapan), Rokan Hulu (lima), dan Kepulauan Meranti, Indragiri Hulu dan Siak, yang mencatatkan tiga titik panas setiap satu. Kampar dilaporkan hanya mencatatkan satu titik panas.

"Secara keseluruhan, 92 titik panas dikesan di Riau pagi ini (semalam).

"Bilangan titik panas di wilayah itu telah meningkat dengan ketara, kerana hanya 66 titik panas dikesan pada Ahad. Ini disebabkan cuaca yang kering, yang menjadikan tanah lebih mudah terbakar."


Penduduk di Duri, daerah Mandau, kabupaten Bengkalis, mendakwa mereka dapat menghidu bau asap sejak awal Isnin.

Beberapa kawasan di daerah Tanah Putih, kabupaten Rokan Hilir, telah dilitupi dengan asap tebal sejak pagi Isnin. Asap itu datang dari kebakaran tanah di kampung Putat di daerah Tanah Putih dan kampung Siarang Arang di daerah Pujud. - The Jakarta Post/ Asia News Network