TEKA-tika individu yang bakal bergelar suami pengacara dan penyampai radio terkenal Fara Fauzana nampaknya bakal terjawab.
Ini berikutan, seorang sumber kepada BH Online telah berkongsi maklumat dan gambar lelaki yang berjaya mendapat hati personaliti popular berkenaan.
Menurut sumber, lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Hafiz itu menepati ciri dan bayangan yang diberikan Fara.
“Orangnya memang menepati cita rasa Fara, bertubuh sasa dan wajahnya sedap mata memandang. Berkulit lelaki Melayu dan kini menetap di Kuala Lumpur,” kata sumber itu, memetik BH.
Bagaimanapun, Fara yang dihubungi enggan mengesahkan sama ada benar lelaki itu adalah bakal suaminya.
Seorang sumber lain memberitahu, pernah menemui Fara bersama seorang pemuda yang dikatakan menjalankan perniagaan dalam bidang perhotelan milik keluarganya di London.
Terdahulu, Fara mengumumkan akan mendirikan rumah tangga pada 17 September ini, namun memilih merahsiakan identiti bakal suaminya.
Menurut Fara, bakal suaminya dikenali sebagai Hafiz dan berusia lingkungan 30-an. -Kedahnews.com