Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad semalam tampil memohon ampun daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung kekeliruan dengan istilah ‘Malaysian Official 1' atau ‘MO1" di lama siosial minggu lalu.
Katanya, beliau tidak berniat untuk mengaitkan Seri Paduka tetapi ia menjadi viral oleh pihak tertentu dengan fahaman yang lain daripada apa yang cuba dinyatakannya,
“Patik sebagai rakyat bawahan Kedah dan Malaysia, menjunjung kasih ke bawah Duli Tuanku dengan ketinggian ketaatan yang tiada tolok bandingnya, dan amat menyesal dengan apa yang berlaku.
“DYMM Tuanku adalah suci dan bersih dari segala hal pergolakan politik rakyat jelata dan tidak ada secebis zarah pun kaitan dengan isu DOJ (Jabatan Keadilan, Amerika Syarikat) dan 1MDB.
“Oleh itu, patik dengan rasa rendah diri dan penuh tanggungjawab memohon sejuta keampunan dari Tuanku sekiranyaperkara yang menjadi viral ini menyentuh dan mengguris hati kecil di sanubari Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan.
Nawawi dalam kenyataannya turut memohon ampun dan maaf kepada Majlis Kerabat Diraja Kedah.
Sambil menyatakan kekesalannya, beliau juga berjanji untuk sangat berhati-hati di masa hadapan apabila membuat kenyataan atau sebarang komen di media sosial khususnya membabitkan Seri Paduka.
“Ampun Tuanku sembah patik beribu-ribu ampun. Pohon keampunan jua dari DYMM Tuanku terhadap patik sebagai rakyat yang setia pada DYMM Tuanku,” katanya. -Kedahnews.com