Iron Lady Rafidah Aziz Enggan Khianati UMNO


KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz menegaskan bahawa beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) kerana masih lagi merupakan ahli UMNO.

Bekas menteri Kabinet itu malah berkata, setakat ini beliau juga tidak pernah didekati oleh mana-mana pihak untuk mengajaknya berpaling tadah dengan menyertai parti baharu tersebut yang kebetulan diasaskan oleh mantan bosnya sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bahkan, kata bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Ketua Wanita UMNO Malaysia itu, beliau juga tidak tahu-menahu mengenai senarai nama termasuk dirinya konon bendahari ahli jawatankuasa penaja Pribumi kerana kebetulan sibuk berada di luar negara waktu itu.

“Saya tidak ada kisah pun dengan parti baharu dan tidak terlibat. Saya masih UMNO. Ada senarai nama (Pribumi) pada masa itu, tetapi saya tidak kisah kerana berada di luar negara,” kata Rafidah ketika ditemui pemberita di Hotel Royale Chulan, di sini semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Persatuan Wanita Rantau Pasifik dan Asia Tenggara (PPSEAWA) Kali Ke-26 yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 pada Khamis.

Berkenan berangkat mencemar duli ke persidangan yang dihadiri lebih 200 delegasi dari 12 buah negara itu ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Shah. Turut hadir ialah Presiden PPSEAWA Antarabangsa, Teresa Hintzke.

Rafidah yang dianggap rapat dengan Mahathir ‘mencuri’ tumpuan penganalisis politik tanah air apabila namanya muncul dalam senarai ahli jawatankuasa penaja Pribumi selain beberapa individu profil tinggi lain konon sebagai perintis Majlis Tertinggi parti itu.

Penafian beliau yang juga Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif syarikat penerbangan AirAsia X sejak 2011 itu, sekali gus memberi ‘tamparan’ hebat kepada Pribumi apabila selama ini sering mencanangkan ramai tokoh UMNO bakal menyertai parti baharu tersebut.

Paling mengejutkan banyak pihak apabila ‘orang kuat’ Mahathir sendiri, Khairuddin Abu Hassan yang konon bakal setiausaha agung parti itu selain bekas menteri, Zaid Ibrahim dan Abdul Wahid Omar juga menafikan mereka pernah berhasrat menjadi ahli Pribumi.

Turut menyangkal diri mereka ahli parti siasah ciptaan Mahathir yang menggunakan lambang ciplak rangkaian klinik botoks tempatan itu ialah bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan mantan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohd. Fairuz Khairuddin.

Baru-baru ini Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan taktik jahat pihak tertentu sanggup menawarkan pemimpin sayap tersebut sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang susulan parti itu amat kekurangan ahli. – Agensi