#Islam: Poligami Itu Besar Tanggungjawabnya...


SEKALIPUN cerita tersebut sudah berlalu lima tahun lamanya, dendam kesumat si ayah kepada anak lelakinya tidak pernah padam. Semua itu gara-gara si anak membuang kasut isteri baharu ayahnya ke dalam sungai semasa ayah membawa ‘madu’ ke kampung untuk diperkenalkan kepada keluarga.

Ihsan, yang ketika itu berusia 13 tahun sememangnya tidak dapat menerima keputusan ayahnya berkahwin lain kerana tahu kedudukan kewangannya yang bukannya kukuh. Sedangkan keluarga yang ada pun nafkah tidak diberi secukupnya, ada hati pula
si ayah membuka ‘cawangan’ lain.

Ihsan tahu, ibunya Manisah sering menangis apabila ayahnya menyatakan hasrat berkahwin lagi. Tapi dek kerana tidak mahu bercerai khuatir tiada tempat untuk bergantung harap, dia terpaksa merelakannya.

Seperti yang diduga, sejak si ayah berkahwin lagi, duit nafkah yang sebelumnya memang tak cukup, kini semakin parah apabila sering sahaja culas. Bukan sebulan dua, malah sehingga enam bulan tertangguh.

Pernah Ihsan dan ibunya meminta simpati jiran, meminjam sedikit wang untuk membeli beras dan lauk yang telah lama kehabisan.

Apabila diberitahu kepada si suami, mudah sahaja jawapannya, “Isteri aku yang sini lebih memerlukan. Tak lama lagi nak bersalin. Duit nak pakai banyak. Kau pandai-pandai cari duit lain,” katanya melepaskan tanggungjawab.

Menangis lagi si Manisah mengenang nasib diri dan anak-anak. Tanpa mahu terus mengharap, Manisah memberanikan diri menawarkan perkhidmatan menjaga anak-anak jiran. Seorang dibayar RM300, dapat tiga orang, jumlahnya RM900. Tolak duit sewa, RM400, maka tinggallah RM500 untuk keperluan dapur, bil utiliti dan perbelanjaan sekolah anak-anak.

PANDANGAN KAUNSELOR

Ayah, tunggak kehidupan sebuah keluarga. Sesuai dengan sifat kelelakian yang gagah, kuat dan tabah, Allah meletakkan amanah itu kepada kaum Adam untuk mengemudi rumah tangga.

Justeru, lelaki perlu menerima hakikat kejadian mereka adalah sebagai pelindung, penjaga dan harapan wanita sebagai tempat bergantung yang meyakinkan.

Namun, rencah kehidupan yang pelbagai membuatkan lelaki terkadang terbuai leka dengan kehendak hawa nafsu.

Keadaan menjadi lebih teruk andai tiada pegangan agama kukuh. Keadaan ini mungkin berbeza bagi mereka yang bukan sahaja bertanggungjawab terhadap amanah Allah, bahkan tidak mengetepikan kepentingan beragama dalam kehidupan.

Sebagaimana kisah yang dipaparkan, sekalipun tahu diri tidak mampu berpoligami, runtunan hawa nafsu lebih diutamakan daripada memikirkan soal tanggungjawab berumah tangga.

Inilah sukarnya apabila manusia sengaja mengundang masalah dalam rumah tangga.

Hakikatnya, Islam tidak pernah melarang mana-mana lelaki untuk berpoligami tetapi ukur terlebih dahulu kemampuan diri agar tidak berlaku zalim kepada mana-mana pihak.

Ingatlah, tanggungjawab berumah tangga bukan hanya melunaskan tuntutan nafkah batin, sebaliknya menjaga sebaik mungkin keperluan nafkah zahir yang turut merangkumi soal perasaan dan keadilan.

Selain itu, keperluan asas seperti makan minum, tempat tinggal dan pakaian isteri dan anak-anak perlu mencukupi.

Bahkan, si suami juga bertanggungjawab memastikan keperluan pendidikan anak-anak terurus dengan baik.

Tanggungjawab ini hakikatnya terletak pada bahu suami dan isteri hanya membantu memudahkan urusan tersebut.

Justeru, tanya pada diri, kalau duit untuk urusan diri pun diminta dari isteri, di mana letaknya soal kemampuan untuk menambah ‘cawangan’ sekalipun halal di sisi Islam.

Ingatlah, suami yang takut kepada Allah akan sentiasa berhati-hati dalam apa jua perlakuannya kerana semua ini akan disoal di hadapan Allah kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan diminta bertanggungjawab atas yang dipimpinnya...” - Riwayat Bukhari dan Muslim.
Yang pasti, kegagalan untuk memahami erti tanggungjawab sebagai seorang suami, akan membuatkan institusi keluarga menjadi rapuh..

Justeru, jangan salahkan anak-anak apabila mereka menjadi liar dan terlibat dalam salah laku yang boleh menjatuhkan maruah keluarga serta agama.

Seorang suami atau ayah perlu mempertimbangkan sebaik mungkin apa jua keputusan yang akan dilakukan.

Ini kerana setiap keputusan itu pastinya akan mendatangkan kesan besar kepada kebahagiaan hidup berkeluarga sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

TIP KAUNSELOR

1. Hadirlah dalam diri anak-anak dan keluarga. Luangkan lebih banyak masa dengan anak-anak agar kehadiran anda dalam keluarga lebih dihormati.

2. Pekalah dengan perkembangan keluarga. Seorang ayah bertanggungjawab akan sentiasa mengetahui dan memahami apa yang berlaku kepada keluarganya sama ada positif atau negatif.

3. Ayah disayangi dan menjadi idaman keluarga ialah seorang yang memberikan pelajaran penting tentang kehidupan terutama persediaan untuk menghadapi dugaan dan cabaran dihadapi di luar jangka.

4. Ayah yang penyayang sentiasa mengambil peluang untuk berkomunikasi secara dua hala dengan keluarga bagi mendapatkan dan memberi maklumat penting. Komunikasi ayah yang berkesan akan meninggalkan ilmu kepada anak sebagai panduan penting bagi meneruskan kehidupan lebih baik di masa hadapan.

5. Sebagai individu yang sibuk dengan tanggungjawab, seorang ayah perlu memastikan jadual sehariannya tidak terlepas daripada bertemu dengan keluarga. Setiap detik pertemuan akan membuahkan bibit indah dan kenangan sentiasa dinantikan oleh keluarga.

6. Ayah yang bijak akan memberi kepercayaan kepada ahli keluarganya untuk bersama-sama memikul tanggungjawab membahagiakan keluarga.

Sumber: Utusan