"Itu Fitnah!" - Peniaga Kedai Makan Parit Panjang, Baling

Zarina menunjukkan fitnah yang tersebar di media sosial.
BALING - “Itu Fitnah! Saya harap penyebar fitnah itu tampil ke hadapan memohon maaf kepada peniaga di sini,” demikian kata salah seorang peniaga berhubung dakwaan di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp kononnya kedai makan di Parit Panjang di sini, dicemari sihir santau.

Peniaga, Zarina Md Amin, 46, berkata, dia kecewa dengan penyebaran fitnah di media sosial dengan dakwaan kedai makan di kawasan berkenaan tidak selamat dikunjungi.

Menurutnya, kesan viral itu benar-benar menjejaskan perniagaannya.

“Bila keluar viral tidak benar itu di media sosial, perniagaan saya juga terjejas.

“Pelanggan seperti takut untuk singgah makan dan minum di kedai saya,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Difahamkan, dakwaan santau membabitkan kedai makan sekitar Parit Panjang mula diviralkan di Facebook, sejak dua minggu lalu.

Isi kandungan viral itu turut mendakwa seramai 40 orang sedang mempelajari ilmu sihir berkenaan, selain mengingatkan masyarakat agar tidak makan dan minum di kawasan berkenaan kerana dikhuatiri menjadi mangsa.

Seorang lagi peniaga, Zainab Yahya, 48, berkata, individu bertanggungjawab perlu segera menghentikan penyebaran fitnah berkenaan.

Menurutnya, kedai makan di Parit Panjang selamat kepada pelanggan.

“Di sini kawasan pengajian dan semua penduduk di sini adalah Muslim, kami pun harapkan kedai makan untuk tempat cari rezeki.

“Berhentilah sebarkan fitnah, kita sama-sama Islam, tidak sepatutnya fitnah itu dibuat. Ingatlah fitnah itu tidak selamat untuk kehidupan seseorang,” katanya.

Tambahnya, semua masyarakat termasuk, alim ulama di kawasan berkenaan diminta mendoakan kesejahteraan semua peniaga.

Sementara itu, bagi Azmi Ishak, 48, berkata, santau pernah berlaku di kawasan berkenaan tetapi ianya sudah 20 tahun berlalu.

“Kawasan di sini selamat, malah pelajar dan orang masjid sendiri datang membeli di kawasan kedai makan di sini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian