"Jika Tiub Tercabut, Nafasnya Mungkin Terhenti..."


KUALA KEDAH - Seorang bayi berusia sembilan bulan dari Kampung Ulu, Kuala Kedah, yang mengidap empat penyakit kronik terpaksa bergantung kepada mesin oksigen sepanjang hari untuk menjalani kehidupan harian.

Ieman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim mengidap penyakit jantung, masalah paru-paru, asma dan sawan.

Menurut ibunya, Nor Hidayu Halim, 27, anak bongsu dari tiga adik beradik itu perlu menggunakan mesin oksigen itu setiap masa.

“Hati ibu mana mampu tahan bila lihat anak terpaksa pakai tiub khas pada hidup sepanjang hari untuk teruskan hidup, namun kami tiada pilihan lain.

"Bila Ieman tidak sihat, saya memang risau kerana dia asyik tidur saja. Bukan setakat main, malah minum pun dia tak nak,” katanya.

Hidayu berkata, kini keadaan kesihatannya juga tidak menentu, ada ketika Ieman dilihat bertambah baik, namun kadangkala tidak sihat.

Malah katanya, tiub yang dipakai anaknya juga kadangkala tertanggal apabila Ieman kerap menggosok hidungnya.

"Untuk pastikan tiub itu tak tertanggal, saya kena perhatikan Ieman setiap masa.

"Jika tiub itu tercabut, nafasnya mungkin akan terhenti," katanya.

Tambahnya, disebabkan keadaan anaknya itu, dia tidak bekerja dan mengharapkan pendapatan suami, Abdul Rahim Ismail, 31, sebagai penjual air kelapa.

"Dengan pendapatan suami yang tak seberapa, kami memang masih memerlukan bantuan untuk menampung kos rawatan hospital, susu dan lampin," katanya.

Selain Ieman, pasangan suami isteri ini juga menyara dua lagi anak mereka, Ahmad Hafizy, 9, yang juga orang kurang upaya (OKU) dan Ahmad Amirul Amin, 6.

Sebelum ini, media pernah menyiarkan penderitaan Ieman yang mendapat perhatian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagi mereka ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama ibunya Nor Hidayu Halim (0210029000677695).

Sumber: Sinar Harian