Johan As’ari Enggan Terikut-Ikut Trend "Abang Sado"


PELAKON Johan As’ari mengakui dirinya tidak mahu terikut-ikut dengan trend artis ketika ini yang giat membina badan menjadi ‘sado’ bagi menarik perhatian umum.

Menurut Johan, dia hanya akan membina badan jika diperlukan bagi membawa watak yang diberikan dalam drama atau filem yang dibintanginya.

“Saya tak terfikir mahu membuat badan sehingga menjadi sasa seperti artis lain. Walaupun ada watak yang mahukan saya untuk berbadan sado, ia hanya tuntutan watak itu sahajalah.

“Selepas penggambaran, saya tidak akan meneruskan aktiviti membina badan dan badan saya akan kembali seperti biasa,” katanya, memetik mStar Online.

Tambah Johan, 30; yang pernah belajar agama di Indonesia, dia yakin bahawa mutu dan kualiti lakonan adalah lebih penting untuk dinilai, bukannya bentuk badan semata-mata.

“Saya rasa drama sekarang bukan memerlukan pelakon yang berbadan sasa sahaja, dan saya tak pernah rasa tergugat dengan kehadiran mereka yang lebih kacak dan sasa.

“Saya rasa ramai penerbit yang mahu mengambil pelakon yag berbadan biasa seperti saya untuk berlakon. Sebenarnya yang paling penting ialah bakat dalam lakonan,” katanya. –Kedahnews.com