Kaedah "MIndfulness" Mampu Jadi Penawar Kehidupan?


KEHIDUPAN harian yang penuh dengan pelbagai aktiviti atau perkara yang membentuk pengalihan perhatian (distraction) merupakan sumber ketidakselarian gen-biologi-gaya hidup. Pengalihan perhatian misalnya, boleh berlaku akibat peningkatan impak teknologi internet dan telefon pintar misalnya. Ia menyebabkan sesetengah orang cenderung untuk menggunanya hingga berlaku pengalihan perhatian dan seterusnya meluntur pemfokusan yang dipercayai merupakan satu aspek ketidakselarian tersebut.

Secara umum, aktiviti melayari internet atau berinteraksi dalam media sosial memang tiada apa salahnya kecuali kelakuan melakukan aktiviti tidak sihat dari sisi agama, undang-undang atau moral. Namun, apabila seseorang secara kolektif menggantikan masa sepatutnya bersendirian dengan aktiviti mencetus pengalihan perhatian secara kerap dan berterusan, maka kebiasaan inilah yang dipercayai boleh menimbulkan masalah. Ia satu contoh sumber pengalihan perhatian.

Kajian-kajian menunjukkan peningkatan penggunaan telefon pintar dikaitkan dengan keresahan, kemurungan dan tidur terganggu kalangan remaja dan dewasa. Kajian yang dimaksudkan berjudul Dependency on Smartphone Use and Its Association with Anxiety in Korea dalam jurnal Public Health Report (Jun 2016) dan Relationship of smartphone use severity with sleep quality, depression, and anxiety in university students, terbit dalam Journal of Behavioral Addiction (Jun 2015).

Masalah kelakuan

Kajian berjudul Internet use and electronic gaming by children and adolescents with emotional and behavioural problems in Australia – results from the second Child and Adolescent Survey of Mental Health and Wellbeing yang terbit dalam jurnal BMC Public Health pula mendapati pertalian antara penggunaan internet bermasalah dengan permainan elektronik, gangguan psikologi dan masalah kelakuan pada kalangan kanak-kanak dan remaja.   

Penulis berpandangan bahawa semakin meningkat pengalihan perhatian yang mengubah/mengganggu pemfokusan, maka keperluan mengutamakan memenuhi keperluan diri sendiri (termasuk memenuhi pelbagai tanggungjawab sebagai manusia bermasyarakat dan hamba kepada Maha Pencipta) serta memperbaiki kesan-kesan negatif (akibat pengalihan perhatian) harus diberi perhatian serius.

Kaedah yang biasa disarankan oleh pakar-pakar Barat untuk mengembalikan perhatian kepada diri sendiri serta memperbaiki kesan-kesan negatif akibat pengalihan perhatian ialah dengan mengamalkan mindfulness.

Maksud mindfulness yang penulis gunakan dalam artikel ini ialah kesedaran terhadap fikiran, perasaan, deria rasa tubuh dan persekitaran yang berlaku dari masa ke masa – bukan tidak menghiraukan perhatian terhadap masa hadapan atau masa lampau.

Mindfulness dipercayai menjadi penawar kepada kehidupan pada zaman moden serba mencabar ini yang penuh dengan sumber pengalihan perhatian, kebimbangan, kerisauan dan sumber-sumber lain yang boleh menimbulkan stres. Mindfulness mendidik seseorang agar memfokuskan kesedaran dan perhatian kepada peri pentingnya masa yang sedang dialami sekarang (present moment) serta peka dengan deria rasa.

Kajian berjudul A multi-method examination of the effects of mindfulness on stress attribution, coping, and emotional well-being yang terbit dalam Journal of Reseacrh and Personality (Disember 2008) mendapati empat kajian menunjukkan pengaplikasian  sungguh pun pada tempoh singkat, dapat meningkatkan emosi positif. Pada masa sama ia membantu mengurangkan emosi negatif dan stres.

Kajian berjudul Effects of mindfulness meditation training on anticipatory alpha modulation in primary somatosensory cortex yang terbit dalam jurnal Brain Research Bulletin (Mei 2011) pula mendapati pengaplikasian mindfulness dapat mengurangkan pengalihan perhatian dan memperbaiki keupayaan untuk memfokus.

Ia juga dapat mempertingkat hubungan, merasa diri lebih rapat daalam hubungan serta mempertingkat rasa belas kasihan terhadap diri sendiri dan orang lain seperti ditunjukkan oleh kajian berjudul Mindfulness-based relationship enhancement yang terbit dalam jurnal Behavior Therapy (2004). 

Susun semula
Kajian menunjukkan sifat neuroplastivity otak membantu penyusunan semula (info) otak atau penyesuaian diri berdasarkan input. Sifat tersebut juga membantu para saintis penyelidik memerhatikan dan mengesan kadar keberkesanan pengaplikasian meditasi mindfulness pada otak.

Meditasi mindfulness pula merujuk kepada amalan untuk mencapai ketenangan fikiran yang biasanya dikaitkan dengan Budhism. Meditasi mindfulness secara khusus memfokus kepada minda dan kesedaran - bukan  mengosongkan minda seperti amalan yoga, Taosim atau sebahagian penganut sufi.

Lima aspek utama meditasi mindfulness yang harus diberi perhatian ialah persekitaran, amalan, postur, renungan (gaze) dan pernafasan.

Artikel berjudul What is mindfulness dalam laman sawang WiseGEEK menerangkan amalan meditasi mindfulness dari segi definisi dan kaedah perlaksanaannya. Antara lain penulis artikel tersebut menyatakan meditasi merupakan proses berfikir aktif, bukan membiarkan otak menerawang. Pengamal harus memulakannya dengan sasaran/inspirasi yang jelas bertujuan membina tenaga positif dalam membantu perlaksanaan meditasi.

Kajian menunjukkan meditasi mindfulness mengurangkan kesakitan, meredakan keresahan/kemurungan, kawal gula darah, tingkatkan fokus, memperlahankan penuaan sel, sihat ketika mengandung, tidur lebih baik dan memperbaiki imuniti.

Bagi orang beragama Islam, beberapa bentuk zikir (mengingati ALLAH SWT) iaitu solat, wirid/doa, mendengar ceramah agama, membaca atau mendengar bacaan al-Quran merupakan kaedah meditasi yang berkesan. Solat lima waktu merupakan meditasi terbaik kerana ia bukan sahaja menyedarkan diri seseorang akan siapakah diri mereka malah menimbulkan rasa tanggungjawab diri terhadap perintah dan larangan ALLAH SWT.

Jika solat dilakukan dengan khusyuk dan istiqamah maka niat solat, pergerakan, postur tubuh dan setiap bacaan (memiliki maksud untuk memperbaiki diri) dikatakan dapat membantu pengamalnya menjadi individu yang semakin hari semakin bertambah baik dari pelbagai segi.

Di samping mengalami ketenangan, solat membantu seseorang mengutamakan prioriti dalam menjalani kehidupan, antara lain seseorang tahu mana perbuatan yang lagha (misalnya melayari internet atau bersosial menggunakan media sosial tanpa keperluan) atau tidak. Menghindari perbuatan lagha sendiri dapat mengelak dari pengalihan perhatian.

Kerana kesuntukan ruang dan mengelak dari menjurus kepada perbincangan genre agama, penulis sudahi dengan kajian untuk semakan pembaca berjudul The Effects of Muslim Praying Meditation and Transcendental Meditation Programs on Mindfulness among the University of Nizwa Students yang terbit dalam College Student Journal (Disember 2013).

Sumber: Sinar Harian