"Kalau Nak Jadi Presiden, Tubuh Parti Baru.." - Ahmad Bashah


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dinobatkan sebagai Naib Presiden untuk parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Beliau berkata, ia merupakan jalan paling mudah bagi bekas Menteri Besar itu meletakkan dirinya di barisan tertinggi parti tanpa memerlukan dirinya menghadapi sebarang pertandingan bagi merebut jawatan tersebut.

"Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada ahli-ahli Yang Berhormat, terutama sekali Yang Berhormat daripada Ayer Hitam (Mukhriz).

"Sebelum terlewat, saya nak ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat bekas Menteri Besar yang telah pun dinobatkan sebagai Naib Presiden dalam parti baru. Ya lah.. penaja.

"Jadi kalau nak jadi Presiden, tubuh parti... itu lebih mudah. Tapi kalau tak (jadi) Presiden pun, (jadi) Timbalan Presiden pun dok di atas jugaklah," " katanya berseloroh, sambil disambut gamat dengan gelak ketawa oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang lain.

Selain Mukhriz, turut Ahmad Bashah turut berseloroh dengan Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) merangkap Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Phahrolrazi Zawawi.

"Pengkalan Kundor Presiden? Lagi tinggi dari Naib Presiden lagi la... jadi bagus la?," katanya lagi, berseloroh memberi respon kepada usikan Adun yang menggamatkan lagi keadaan dewan.

Menteri Besar itu berkata demikan semasa mengggulung perbahasan menjunjung titah kasih ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah,  Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehhuddin Sultan Badlishah, pada sidang Dun Kedah, di sini, lewat petang semalam.

Mukhriz pada sidang Dun kali ini begitu agresif "menyerang" pihak kerajaan setelah dipindahkan kerusi untuk berada bersama barisan pembangkang, duduk bersebelahan dengan Phahrolrazi yang keluar PAS untuk menyertai PAN sebelum ini. -Kedahnews.com