Kecing Tikus: Tangguh Aktiviti Kokurikulum Melibatkan Air - Mahdzir


KUALA NERANG – Semua sekolah di seluruh negara diarah menangguhkan kegiatan kokurikulum melibatkan aktiviti air berkuat kuasa serta-merta berikutan kematian seorang guru akibat jangkitan kencing tikus di Kedah, kelmarin.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keputusan itu berkuat kuasa sementara satu kajian dibuat oleh jawatankuasa khas kementerian berkaitan isu itu, sebelum memutuskan waktu yang sesuai untuk membenarkan kembali aktiviti tersebut.

“Kementerian telah mengambil keputusan menangguhkan semua aktiviti kokurikulum melibatkan air seperti kawasan sungai, air terjun atau kawasan yang melibatkan serangan (kencing tikus) seumpama ini.

“Kita akan buat kajian, insiden ini kita tidak jangkakan sampai sebegitu serius jadi saya minta ketua pengarah pelajaran dan pasukan petugas di kementerian membuat kajian dan selepas itu baru kita tengok masa sesuai untuk benarkan balik,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di sini semalam.

Semalam, seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Seri Indera Putera, Ayer Hitam, Mohd Yusri Yaccob meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah setelah dipercayai menghidap leptospirosis atau jangkitan kencing tikus.

Beliau sebelum itu dilapor berkunjung ke Sungai Ketil pada 15 Julai lepas, bersama beberapa guru dan murid sekolah untuk menjalani aktiviti berkayak dan memanjat gunung di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Mahdzir berkata arahan itu hanya tertakluk bagi aktiviti yang melibatkan air, justeru mana-mana aktiviti luar bilik darjah selain daripada itu boleh dijalankan seperti biasa. – BERNAMA