Kedah Jemput Pihak Swasta Bangunkan Sektor Pelancongan Kesihatan


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah berhasrat untuk merancakkan lagi pembangunan dan ekonomi di negeri itu melalui sektor pelancongan kesihatan, khususnya di kawasan-kawasan tumpuan pelancong seperti di Pulau Langkawi dan sebagainya.

Justeru itu, Datuk Seri Ahmad Bashah menjemput mana-mana pihak yang berminat untuk mengemukakan cadangan membina premis-premis berteraskan pelancongan kesihatan kepada Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan.

"Kita nak bagi tumpuan dari segi pelancongan kesihatan.

"Kalau ada pihak swasta yang berminat terutama sekali di pulau pelancongan, di Pulau Langkawi untuk bersama membangunkan pelancongan kesihatan seperti membina hospital swasta dan sebagainya.

"Kita akan membantu," katanya sejurus mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri di Wisma Darul Aman, pagi tadi.

Menurut beliau, industri pelancongan kesihatan di negeri lain telah banyak membantu menjana pendapatan ekonomi setempat dan Kedah amat berpotensi untuk meneroka sektor berkenaan khususnya di kawasan-kawasan tarikan pelancong di negeri tersebut.

Memberi contoh di negeri Pulau Pinang, beliau mendapati ramai pelancong dari luar negara sanggup datang dari jauh ke negeri berkenaan untuk mendapatkan rawatan di pusat-pusat perubatan di sana.

Selain itu katanya, bidang pelancongan kesihatan juga mampu memberi pulangan yang baik kepada ekonomi negeri Kedah dan dijangka memakmurkan lagi pendapatan rakyat di negeri tersebut terutama dalam penyedian peluang pekerjaan baru.

"Bidang pelancongan kesihatan ini menjadi satu bidang yang boleh membawa manfaat kepada negeri Kedah kalau kita bagi tumpuan," jelasnya.

Ahmad Bashah dalam ucapannya menyentuh tentang perancangan Kerajaan Negeri untuk memberi tumpuan kepada sektor pelancongan kesihatan sebagai salah satu produk yang mampu merancakkan lagi ekonomi negeri.

"Pelancongan kesihatan semakin berkembang di negara kita terutamanya dengan Bajet 2016 yang memperkenalkan insentif seperti E-Visa pada pertengahan 2016 dijangka lebih ramai pelancong perubatan mendapatkan rawatan di negara ini.

"Malaysia juga terus memahat nama dalam industri pelancingan kesihatan, memenangi anugerah destinasi pelancongan kesihatan sempena medical travel awards 2016 yang berlangsung di Madrid, Sepanyol baru-baru ini.

"Antara perkhidmatan yang paling dicari ialah rawatan kardiologi, ortopedik, persenyawaan in-vitro (IVF), neurologi, onkologi, pergigian, pembedahan kosmetik dan pemeriksaan kesihatan.

"Sehubungan itu, saya menyeru supaya pihak berkaitan mengambil peluang ini dalam merancakkan lagi pembangunan pelancongan kesihata di Kedah melalui cadangan seperti Medical City dan sebagainya," ujar beliau ketika merasmikan mesyuarat berkenaan pagi tadi. -Kedahnews.com