Pemain Kelantan Mohd Badhri Radzi (kiri) diasak pemain Kedah Azmeer Yusof dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, malam tadi. - Foto Bernama |
KEDAH berjaya bangkit untuk menang tipis 2-1 ke atas Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV bagi mengukuhkan kedudukan mereka di tangga ketiga Liga Super 2016, malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, Kelantan terlebih dahulu mempunyai peluang menjaringkan gol apabila Ilioski berjaya meloloskan diri menerusi dua pertahanan Kedah dan melakuan percubaan namun sedikit tersasar seawal minit ketiga.
Pelawat melakukan asakan dengan dua percubaan dua minit kemudian melalui Thiago Augusto Fernandes namun ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat.
Pada minit ke-13, Brendan Gan menceriakan penyokong Kelantan apabila percubaannya menerjah gol Hijau Kuning namun dibatalkan kerana sebelum itu Ketua Pasukan lawan, Khairul Helmi Johari dijatuhkan oleh Ilioski.
Selang tujuh minit kemudian, Abd Halim Shaari meletakkan Kedah 1-0 di hadapan selepas menyempurnakan hantaran dari sebelah oleh Thiago.
Tersentak dengan jaringan tersebut, The Red Warrior mengatur serangan bertali-arus ke kubu pelawat namun gol penyamaan gagal diburu sehingga penghujung separuh masa pertama.
Babak kedua bermula, Brendan Gan mencemaskan pertahanan Kedah pada minit ke-46 namun sedikit tersasar dan percubaan seterusnya pada minit ke-54 yang sekadar singgah di palang.
Gol penyamaan yang diburu oleh tuan rumah akhirnya hadir menerusi Wan Zack Haikal apabila dia bijak menggelecek seorang pertahanan pelawat untuk melakukan percubaan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol pelawat, Ifwat Kamal pada minit ke-69.
Bagaimanapun asakan bertalu-talu dan penguasaan lawan 20 minit terakhir dikejutkan oleh jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-92 yang melakukan percubaan tepat ke penjuru gol untuk menewaskan Khairul Helmi buat kali kedua bagi keputusan penuh Kedah mengatasi Kelantan 2-1.
Sumber: Sinar Harian