Kekasih Julia Ziegler Tak Mudah Percaya Gosipnya Di Internet

Julia Ziegler
PELAKON Julia Ziegler atau nama sebenarnya Julia Bob Fauzi Ziegler, 32, mengakui bahawa teman lelaki ada membaca laporan tentangnya termasuk gosip dan kontroversi yang ditulis di Internet.

Tambah Julia, teman lelakinya yang dikenali sebagai Johan berbuat demikian kerana mahu mengetahui segala perkembangan kerjaya seninya dan mahu memahami dirinya dengan lebih mendalam.

“Teman lelaki ada membaca cerita tentang saya termasuk yang baik dan yang buruk di Internet.

“Tetapi, dia bukan seorang lelaki yang mudah percaya dengan apa dibacanya dan dia akan bertanya saya jika terdapat sebarang kekeliruan,” katanya kepada mStar.

Julia menjelaskan dia tidak berasa risau apabila Johan membaca tentang dirinya kerana dia tidak menyembunyikan apa-apa pun dari bakal suaminya itu.

“Saya suka berterus terang dan hanya bersikap jujur. Bagi saya kejujuran merupakan kunci kebahagiaan dalam sesebuah hubungan yang dibina.

“Saya bertuah kerana mempunyai teman lelaki yang memahami kerjaya sebagai pelakon. Dia juga sering menonton drama dan filem lakonan saya,” katanya.

Julia berkata, dia dan teman lelakinya yang merupakan seorang jurutera mekanikal merancang untuk berkahwin pada tahun hadapan dan masih belum membuat apa-apa persediaan setakat ini. – Kedahnews.com