SUNGAI PETANI - Penduduk di Taman Sri Putra, di sini, seolah-olah ‘menumpang di rumah sendiri’ setelah ketenteraman mereka diganggu gugat dek kerana jadi tumpuan pelanggan restoran berhampiran yang dibuka sehingga awal pagi.
Melati, 68, (bukan nama sebenar) mendakwa, restoran yang dibuka lebih lima tahun lalu tidak jauh dari rumahnya itu menimbulkan ketidakselesaan selain mencetus kebimbangan dan ancaman keselamatan memandangkan ia menjadi tumpuan orang ramai sehingga larut malam.
Menurutnya, sejak 1965, banyak kedai yang dibuka di kawasan terbabit, namun selepas diberi amaran dan dirobohkan kerana menimbulkan kacau ganggu, mereka berpindah ke lokasi lain.
“Namun sejak kebelakangan ini, ada sebuah restoran ‘bebas’ beroperasi depan rumah penduduk sehingga berani menaik taraf kedai dari sebuah rumah kepada restoran yang lebih besar dengan kemudahan tambahan lain.
“Antaranya membina dataran simen dengan binaan beberapa anak tangga, pengadang pagar di tepi Jalan Sungai Petani-Butterworth, lampu hiasan, pemasangan kerusi dan meja serta khemah di depan rumah penduduk.
“Ia seolah-olah kawasan itu milik mereka tanpa mengira kepentingan dan ketidakselesaan kami yang menetap lebih 50 tahun di sini,” katanya.
Halimah, 79, (bukan nama sebenar) mendakwa, pekerja restoran rata-ratanya merupakan warga asing manakala pelanggan terdiri daripada golongan muda itu pantang ditegur kerana akan membidas teguran dengan perbuatan khianat dan biadab.
“Pernah sekali kita tegur agar pelanggan mengubah kedudukan kereta dan motosikal di depan pintu pagar, tetapi kita pula dibalas dengan kata-kata sinis dari pelanggan kedai terbabit, tidak habis takat itu, depa pula bocorkan tayar kereta.
“Sama juga bila menegur pekerja agar mengalihkan tempat membakar sate ke kawasan jauh dari pagar rumah,” katanya.
Rumah penduduk yang hampir dengan restoran itu. |
“Kami kena mengalah walaupun di rumah sendiri. Kami juga bimbang letak kereta dekat kedai kerana pernah berlaku tayar kereta kena tikam hingga berlubang dan cermin kereta dibaling batu sampai berderai gara-gara menegur agar beri laluan,” katanya.
Selain itu, Majid, 74, (bukan nama sebenar) berkata, jiran yang mahu anjur majlis kenduri terpaksa guna ruang rumah jiran lain kerana perlu beri laluan kepada meja dan kerusi restoran yang mula dipasang seawal 5 petang setiap hari.
“Paling mengganggu apabila bunyi bising tengah malam sampailah ke awal pagi, kami nak lelapkan mata pun susah, sampai ke azan Subuh, depa pula tengah basuh periuk belanga,” katanya.
Tambahnya, kehadiran lori membawa bekalan tong gas, ais, sayur-sayuran serta bekalan masak yang lain juga menyebabkan kawasan itu sesak, jalan pecah dan berlubang serta riuh-rendah.
“Lebih menyedihkan, sisa bahan buangan atau air basuhan pinggan mangkuk dialirkan ke longkang sehingga menyebabkan longkang berminyak dan tersumbat selain hakisan menyebabkan dinding longkang runtuh,” katanya.
Disebabkan itu, satu laporan polis telah dibuat dua minggu lalu berhubung kejadian akibat tidak berpuas hati selain atas faktor keselamatan mangsa yang terlibat.
Dalam perkembangan sama, pihak media akan cuba mendapatkan reaksi daripada pihak berkuasa tempatan yang terlibat.
Sumber: Sinar Harian