Ketum Sudah Diharamkan Sejak 2014 Di Kedah - Jabatan Mufti


ALOR SETAR - Jabatan Mufti Negeri Kedah memutuskan sebarang kegiatan dan penyalahgunaan daun ketum di negeri ini adalah haram.

Timbalan Mufti Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin berkata, fatwa pengharaman penyalahgunaan hasil daripada pokok ketum itu dikeluarkan pada tahun 2014.

“Jabatan Mufti Kedah telah mengeluarkan fatwa berkaitan isu ketum, dengan menegaskan adalah  haram melibatkan diri dengan aktiviti penyalahgunaan atau hasil dari pokok ketum. Maksud penyalahgunaan ialah melakukan atau menjadikan sesuatu ke arah kerosakan atau tidak sah dari aspek perundangan,” katanya.

Menurutnya, larangan ini bukan sahaja melibatkan penggunaan air ketum, sebaliknya merangkumi apa sahaja produk yang dihasilkan daripada pokok ketum seperti daun, buah, ranting, akar dan sebagainya.

“Pokok ketum atau dikenali pokok biak oleh masyarakat setempat merupakan sejenis pohon yang didakwa mempunyai bahan berpotensi sebagai rawatan herba. Secara umum tiada salahnya, maka harus hukumnya untuk menanamnya, namun jika disalahguna dengan menjadikan ia bahan mengkhayalkan atau mendatangkan kesan negatif, hukumnya haram,” katanya.


Syeikh Marwazi berkata, apa yang berlaku dalam masyarakat adalah daun ketum itu disalahguna sehingga memberi kesan buruk kepada golongan muda termasuk pelajar sekolah.

“Samalah hukumnya buah anggur yang dijadikan arak. Buah anggur itu halal, tetapi jika dijadikan arak maka hukumnya haram. Menanam pokok anggur dengan tujuan menjadikan buah anggur itu sebagai arak, hukumnya juga haram,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bimbang sekiranya penanaman pokok ketum dalam skala besar bagi tujuan menyediakan bahan mentah akan memburukkan keadaan.

“Pengusaha atau pengeksport tidak peduli kesan buruk itu, mereka hanya mahu raih pendapatan lumayan hasil daripada penjualan daun ketum. Jika ada pihak bercadang menanam pokok ketum untuk dikomersialkan, ia memusykilkan,” katanya.

Syeikh Marwazi berkata, sehingga kini belum ada mana-mana pihak yang sahkan ramuan  ketum sebagai ubat.

“Walaupun ada yang mendakwa bahan terkandung dalam daun ketum berpotensi dijadikan ubat namun ia sekadar anggapan selagi belum dibuktikan kesahihannya. Tambahan pula, banyak lagi pohon herba lain yang boleh diketengahkan untuk kajian makmal bagi tujuan perubatan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya pokok ketum diterima bagi tujuan perubatan, langkah kawalan dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan.

Sumber: Sinar Harian