Kg Baru Padang Sanai Kecewa Sisa Babi Cemar Pengairan

Sebahagian sisa babi yang dibuang oleh pihak tertentu hingga menimbulkan masalah kepada penduduk di Kampung Baru, Padang Sanai.
KUALA NERANG - Penduduk di Kampung Baru, Padang Sanai di sini kecewa pihak tertentu yang melupuskan sisa babi dengan membuangnya di perparitan hingga menimbulkan pelbagai masalah di kawasan itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Baru, Sulaiman Endut, tindakan itu menyebabkan bangkai babi yang terletak di tepi parit di Kampung Baru, Padang Sanai ke Jalan Durian Burung itu akan dibawa arus terutamanya semasa hujan dan masuk mengalir ke Sungai Padang Sanai.

“Ini menimbulkan pelbagai masalah kerana air itu akan masuk ke pusat pemprosesan loji air Padang Sanai untuk kegunaan orang ramai.

“Bagi masyarakat sekitar pula, bau yang busuk itu sudah pasti menimbulkan kurang senang di kalangan penduduk dengan tindakan pihak berkenaan.

"Semakin hari bau busuk itu mula menjejaskan aktiviti harian penduduk di situ dan bimbang akan mengundang penyakit ke kawasan itu,” katanya.

Tindakan pihak berkenaan itu juga tidak wajar kerana mereka perlu menjaga sensitiviti masyarakat sekitar yang kebanyakan adalah Melayu.

"Sebagai masyarakat majmuk yang diamalkan di negara kita, pihak berkenaan perlu mencari tempat yang sesuai untuk melupuskan sisa babi itu," katanya.

Menurut Sulaiman, masalah itu bermula sejak 20 Julai lalu apabila penduduk kampung melihat pihak berkenaan melupuskan sisa binatang itu.

“Kami telah maklumkan kepada Jabatan Perhilitan dan polis di Padang Sanai secara lisan. Oleh kerana pihak berkenaan masih berdegil dan meneruskan aktiviti itu, kami sekali lagi membuat laporan kepada pihak berkuasa pada 5 Ogos lalu, tetapi sehingga hari ini masih belum ada sebarang tindakan,” katanya.

Sisa babi itu dimasukkan ke dalam guni dan dibuang ke dalam parit kira-kira 200 meter dari Sungai Padang Terap sehingga menimbulkan bau busuk sekali gus mengundang anjing liar datang dan merosakkan guni.

Jelasnya lagi, pihaknya telah mengenal pasti pihak berkenaan walaupun aktiviti itu dilakukan pada waktu malam dan pernah terserempak dengan penduduk kampung.

"Oleh itu kami penduduk kampung terutamanya beragama Islam merayu kepada Jabatan Perhilitan dan polis di daerah itu supaya dapat menyelesaikan masalah itu secepat mungkin. Kami berharap pihak berkenaan perlu mencari tempat yang sesuai untuk melupuskan sisa babi itu serta mendapat kebenaran dari pihak berkuasa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian