Khairuddin Tolak Muhyiddin, Hanya Iktiraf Mahathir Sahaja


PETALING JAYA - Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengakui beliau hanya mengiktiraf kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad berbanding pemimpin lain di negara ini.

Pengakuan terbuka itu sekaligus memberi penjelasan kepada sikap dinginnya terhadap penubuhan parti baharu yang bakal dipimpin bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Dalam apa jua keadaan, kesetiaan dan pengorbanan saya hanyalah kepada Tun Mahathir dan bukan kepada pemimpin-pemimpin lain.

"Pemimpin-pemimpin lain jangan lagak pandai dan jangan sama sekali kurang ajar dengan Tun Mahathir," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Pada Jumaat lalu Khairuddin menegaskan beliau tidak berminat untuk menyertai parti baharu yang turut diusahakan Dr Mahathir sebaliknya mahu berjuang menentang rasuah atas platform peribadi.

Sebelum itu menerusi posting di Facebook, Muhyiddin yang juga bekas timbalan presiden Umno menyatakan akan menyerahkan permohonan penubuhan parti baharu kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai penubuhan parti baharu tersebut, Khairuddin mengingatkan supaya ianya tidak dikawal atau menjadi milik eksklusif sesetengan pemimpin sahaja.

Tegasnya, pandangan semua pihak khususnya Dr Mahathir perlu diberi perhatian sewajarnya.

"Penubuhan sesebuah parti politik mestilah berteraskan kepada pasukan atau konsep konsensus. Ianya tidak boleh hanya dikawal oleh kumpulan kecil tertentu saja.

"Parti politik bukan milik eksklusif seseorang individu tertentu saja tetapi ianya harus menjadi milik kumpulan besar agar semangat sense of belonging' akan terjalin di kalangan ahli-ahlinya. Kaedah penubuhan parti baharu mestilah betul dari awal," katanya.

Tambah Khairuddin lagi, parti baharu itu juga seharusnya tidak dibayangi oleh budaya politik Umno walaupun ia bakal diterajui oleh bekas pemimpin tertinggi parti berkenaan.

"Kalau parti baharu dan pemimpinnya hanyalah inheritance serta duplication daripada Umno, maka yakinlah kita juga bakal ditolak oleh rakyat.

"Sifat angkuh pemimpin mesti dibuang secara total dari jati diri pemimpin-pemimpin parti baharu. Kita harus bersih dan kelihatan bersih untuk jadi pemimpin," katanya.

Sumber: mStar