ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyatakan komitmen tinggi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi sekolah-sekolah persendirian di negeri itu khususnya berkenaan isu hak milik tanah yang gagal diselesaikan sejak sekian lama.
Namun begitu jelasnya, pihak sekolah persendirian berkenaan perlu mematuhi syarat-syarat yang diperlukan dan undang-undang tanah negeri Kedah supaya tidak mencetus masalah dikemudian hari.
"Jadi syarat-syarat ini kita minta supaya pihak lembaga sekolah persendirian dapat memainkan peranan supaya dapat mengikut undang-undang, syarat-syarat dan peraturan tanah negeri Kedah.
"Kalau itu dipenuhi, saya yakin tiada masalah untuk kita pastikan supaya hak milik kekal ini dapat diberi kepada pihak sekolah-sekolah persendirian," katanya di sini, hari ini.
Ahmad Bashah sebelum itu menyempurnakan majlis penyerahan bantuan kepada tiga buah sekolah persendirian yang sebelum ini tidak pernah menerima bantuan dari Kerajaan Negeri Kedah.
Sekolah Menengah (Persendirian) Keat Hwa dan Sekolah Menengah (Persendirian) Sin Min di Alor Setar dan Sekolah Menengah (Persendirian) Sin Min di Sungai Petani menerima cek sumbangan dari Kerajaan Negeri bernilai RM50,000 bagi setiap sekolah di majlis berkenaan.
"Saya difahamkan tiada bantuan yang diberi oleh Kerajaan Negeri kepada 3 buah sekolah-persendirian iaitu sekolah Keat Hwa, sekolah Sin Min di Alor Setar dan Sin Min Sungai Petani. Yang sekolah-sekolah lain tu ada bantuan diberi dari pihak Kerajaan Negeri," katanya.
Menteri Besar itu turut menyeru kepada masyarakat Cina supaya bersama mengembeling tenaga dan bermuafakat membangunkan negeri Kedah demi menjamin masa depan yang lebih baik buat negeri tersebut. -Kedahnews.com