Koperal Didakwa Terima Suapan RM1,300 Di Serdang


ALOR SETAR - Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen, semalam atas pertuduhan  menerima suapan wang tunai RM1,300 dua tahun lepas.

Mohamad Sukeri Othman, 35, yang bertugas di Pejabat Peronda Lebuhraya Zon Utara (Bandar Baharu-Changkat Jering) didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap V. Tamil Vanan kerana disyaki membawa arak tanpa cukai berbayar di dalam kereta jenis Toyota Avanza.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kedai Veerasamy Mini Market, F79 Pekan Lama, Lubok Buntar, Serdang, Bandar Baharu pada jam 10.09 pagi, 9 November 2014.

Tertuduh yang hadir tanpa diwakili peguam mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan dan mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin menawarkan jaminan bernilai RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh untuk dibicarakan bersama kes lain.

Hakim Zanol Rashid Hussain kemudiannya memerintahkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh untuk urusan jaminan dan penetapan tarikh sebutan semula kes.

Sumber: Sinar Harian