Langgar Syarat Pengawasan, 5 OKP Baling Dipenjara

OKP yang akan dihantar ke penjara.
BALING - Lima individu Orang Kena Pengawasan (OKP) dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah Majistret Baling kerana melanggar syarat pengawasan, di sini, baru-baru ini.

Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan, (AADK) Daerah Baling, Arnida Ishak berkata, kesemua OKP itu gagal hadir ke balai polis dan pejabat AADK Baling serta tidak menghadiri program pemulihan dianjurkan.

Menurutnya, empat daripada mereka akan ditempatkan di penjara Sungai Petani dan seorang di Penjara Pokok Sena.

“Semua OKP ditahan Unit Penguatkuasaan AADK Daerah Baling dalam satu Ops Waran.

“Operasi ini dijalankan di kawasan Kampung Bukit Iboi, Kampung Landak Hilir, Kampung Carok Rotan Mas, Kampung Siong dan Kampung Lanai bagi menahan penagih berkenaan,” katanya.

Tambahnya, operasi tersebut diketuai Syafiza Abu Hassan manakala kes itu dibawa oleh Pegawai Pendakwa AADK Kedah iaitu Zakaria Mat Saed.

Setiap OKP, menurut Arnida, perlu mematuhi arahan mahkamah dengan melaporkan diri di balai polis, pejabat AADK serta mengikuti kursus pemulihan disediakan.

“Saya mengingatkan semua OKP supaya jangan berdegil dengan arahan ini, mereka perlu mematuhi arahan mahkamah.

“AADK Baling akan mencari mereka yang degil untuk hadir sama ada menerusi panggilan telefon ataupun mengadakan lawatan ke rumah,” katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya akan terus berusaha mendekati bekas-bekas penagih agar mereka dapat mengintegrasikan diri ke dalam masyarakat dan hidup seperti biasa.

“Justeru itu, mereka dialu-alukan untuk datang ke Rumah Komuniti AADK yang terletak di Binjul kerana di situ adalah platform perantara antara bekas-bekas penagih dan masyarakat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian