Lebih Ramai Sukarelawan ‘Friends Of KPDNKK’ Bantu Pengguna


DUNGUN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mahu lebih ramai pengguna mendaftar sebagai sukarelawan ‘Friends of KPDNKK’ untuk memastikan lebih banyak manfaat dapat dinikmati masyarakat dari segi kepenggunaan.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Friends of KPDNKK bukan sahaja bertindak sebagai pemantau harga barangan malah dalam mencadangkan rangkaian kedai yang menawarkan perkhidmatan terbaik dan harga berpatutan yang boleh dijadikan rujukan rakyat.

“Ini secara tidak langsung akan menjadikan peniaga atau pengusaha produk menawarkan perkhidmatan lebih berkualiti, efisien dan akhirnya mewujudkan satu persaingan yang positif untuk mereka mendapatkan ‘pengiktirafan’ kedai harga patut yang dikemukakan oleh Friends of KPDNKK.

“Kewujudan Friends of KPDNKK adalah untuk membantu hasrat kerajaan menjadikan pengguna mempunyai kuasa dan pengaruh yang baik untuk golongan pengguna sendiri,” katanya semasa merasmikan program Kepenggunaan Komuniti Dungun dan sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Dungun di sini malam semalam.

Katanya sukarelawan Friends of KPDNKK juga menjadi ‘barisan pertama’ untuk menyampaikan maklumat kepenggunaan kepada orang ramai kerana mereka diberi keutamaan dalam apa sahaja program kementerian.

“Pendidikan mengenai kepenggunaan walaupun agak sukar namun ia pasti memberi kesan dalam jangka masa panjang dan Friends of KPDNKK antara usaha permulaan kementerian dalam mencetuskan kesedaran tinggi mengenai hak-hak pengguna di dalam negara ini,” katanya. – BERNAMA