Lelaki Buat Permohonan Nak Kahwin Dengan Pokemon Ditto


PELIK, "gila" malah amat menggelikan hati. Itu yang dapat digambarkan mengenai seorang lelaki dari Moscow, Rusia yang meluahkan keinginannya untuk berkahwin dengan salah satu watak dalam permainan Pokemon Go.

Ketika satu dunia ‘dirasuk’ mahu bermain aplikasi Pokemon Go, lelaki bernama Muscovite Ivan Makarov, 36, pula sibuk berulang alik ke pejabat pendaftaran di Kutuzovsky untuk membuat permohonan berkahwin dengan Pokemon Ditto.

Tidak tahu sama ada dia benar-benar sudah gila atau hanya mahu mencari publisiti murahan, Makarov mendakwa sudah jatuh cinta dengan kartun yang disifatkan paling cantik dan menarik itu.

“Saya memang cintainya. Bagi saya, adalah sukar untuk menangkapnya. Saya ingin kahwin dengannya dengan harapan dia boleh datang ke sisi saya.

“Dia berbadan gemuk sama seperti saya. Saya rasa kami amat adalah pasangan yang sesuai.

“Saya sedia menyerahkan segala jiwa dan raga kepadanya. Tangan saya seperti sudah dapat memegangnya dan saya amat rindunya siang dan malam,” katanya.

Muscovite Ivan Makarov
Lagi tidak masuk akal, Makarov turut memberitahu Ditto boleh memberikan kebahagiaan dan zuriat kepadanya.

Dek kerana itu jualah, permohonannya untuk berkahwin ditolak sebanyak dua kali oleh pejabat pendaftaran.

Sehingga, pegawai pendaftaran terpaksa mengarahkan lelaki itu membuktikan Ditto adalah manusia dan bukan watak kartun. – Kedahnews.com