Lelaki Disyaki Curi Cempedak Maut Ketika Lintas Lebuhraya

Orang awam dan pihak polis mengutip cebisan daging mangsa yang hancur selepas dilanggar dua kenderaan
SUNGAI PETANI – Seorang lelaki maut selepas dilanggar dua kenderaan ketika melintas jalan di Kilometer 100 Lebuhraya Utara Selatan di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, badan mangsa yang berusia 44 tahun hancur selepas dilanggar sebuah van dan sebuah kereta jenis Toyota Vios.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kejadian itu melibatkan tiga kenderaan, namun kereta Perodua MyVi yang dipandu seorang pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Jitra sempat mengelak daripada melanggar mangsa sebelum terbabas ke dalam longkang.

Menurutnya, ketiga-tiga kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Butterworth menuju ke arah Alor Setar.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati lelaki berkenaan kemungkinan sedang melakukan kegiatan mencuri buah cempedak dan melarikan buah berkenaan yang dikumpulkan dalam dua guni.

“Satu guni tercampak ke dalam van ketika berlaku pelanggaran terbabit manakala satu guni lagi ditemui dalam longkang.

“Kita percaya lelaki ini sedang melarikan buah cempedak yang diambil di kebun berhampiran,” katanya.

Katanya, hasil semakan juga mendapati lelaki terbabit mempunyai 11 jenayah rekod lampau termasuk kes berkaitan narkotik.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani.

"Ketiga-tiga pemandu tidak mengalami kecederaan," katanya.

Sumber: Sinar Harian