KUALA LUMPUR – Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia menyeru pelajar universiti supaya tidak terperdaya dengan hasutan politik pembangkang supaya mereka melakukan demonstrasi jalanan.
Presidennya, Mohd. Shahar Abdullah berkata, jalan raya bukan platform untuk golongan mahahsiswa memperjuangkan sesuatu isu seperti yang dihasut kepada mereka oleh pemimpin pembangkang.
“Pelajar terutamanya mahasiswa yang sedang menuntut di mana-mana universiti awam dan swasta diingatkan supaya tidak termakan dakyah politik pembangkang yang sedang mencuba pelbagai cara termasuk ‘membonekakan’ pelajar demi kepentingan politik dan peribadi mereka,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Mohd. Shahar berkata, mahasiswa yang mahu menyertai perhimpunan itu kerana terlalu mudah percaya dengan hasutan dan propaganda rekaan sesetengah pihak yang sentiasa memburukkan kepemimpinan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, mahasiswa berkenaan telah berjaya diheret sama oleh pemimpin pembangkang dalam menjayakan agenda politik luaran itu.
“Meskipun kita sedia maklum bahawa mereka yang menganjurkan perhimpunan ini bukanlah mewakili seluruh mahasiswa dalam negara, perkara ini sedikit sebanyak mengganggu gugat keamanan negara lebih-lebih lagi melibatkan modal insan negara.
“Mereka harus sedar apa yang dilakukan, mengapa mereka ingin menganjurkan perhimpunan itu, adakah mereka benar-benar faham dengan permintaan himpunan itu, atau sekadar laungan yang menjadi ikutan, adakah mereka faham dengan desakan dilakukan dan adakah mereka sedar kesan kepada masyarakat,” katanya. –Kedahnews.com