Mahu Bawa Media Buat Liputan Tugas Doktor Di Hospital


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan berhasrat menggunakan media massa bagi melihat sendiri tugas doktor merawat pesakit di hospital, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata ia akan dilakukan supaya orang ramai dapat mengikuti dan memahami tugas doktor, pembantu perubatan dan petugas hospital yang mengendalikan pesakit setiap hari, menerusi media.

“Kita akan jemput media untuk lihat sendiri perkhidmatan kita, sebagai contoh di jabatan kecemasan untuk melihat bagaimana tekanan yang wujud,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anugerah Professional CME/CPD di Hospital Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis itu, bekas Setiausaha Majlis Perubatan Malaysia, Datuk Dr Azmi Shapie dipilih sebagai tokoh CME/CPD. – BERNAMA