Mahu Main Untuk Negara, Tapi Lebih Suka Berlatih Bersama JDT


KUALA LUMPUR – Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Dominic Tan menyatakan beliau lebih berminat untuk terus berlatih di kelabnya walaupun mendapat panggilan menyarung jersi skuad bawah 22 tahun negara.

Katanya, beliau secara peribadi lebih suka berlatih bersama rakan sepasukannya di JDT kerana yakin tahap permainan mampu dipertingkatkan lagi.

“Ini kerana saya berpeluang menimba ilmu daripada pemain yang senior seperti Safiq Rahim, Amri Yahyah, Jorge Pereyra Diaz dan ramai lagi.

“Saya sememangnya mahu bermain untuk skuad kebangsaan, namun lebih selesa sekiranya dipanggil sewaktu ada perlawanan antarabangsa berbanding dihimpunkan bersama semua pemain lain untuk tempoh yang lama,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pengendali skuad bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt baru-baru ini melahirkan rasa kecewa terhadap Dominic yang masih belum melaporkan diri ke kem latihan pusat pada pagi Ahad.

Tegasnya, beliau tidak boleh bertolak-ansur dengan sikap seperti itu dan mengingatkan setiap pasukan bahawa pasukan akan mendapat pemain apabila memerlukan mereka dan beliau juga akan mendapatkan pemain apabila memerlukan mereka. –Kedahnews.com