Majikan Digesa Beri Peluang Kerja Pada Graduan Pengajian Islam

KUALA LUMPUR – Majikan digesa agar memberi peluang kepada siswazah pengajian Islam dari dalam dan luar negara untuk berkhidmat dalam syarikat mereka.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kebanyakan lulusan pengajian Islam kini sukar mendapat pekerjaan yang sesuai berikutan latar belakang pendidikan mereka.

Khairy berkata Malaysia perlu mengambil contoh daripada kebanyakan negara maju iaitu majikannya menggaji siswazah lulusan pelbagai jurusan dan tidak terhad kepada jurusan tertentu.

“Peluang pekerjaan dalam sektor pentadbiran Islam misalnya tidak mencukupi untuk ratusan mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian dalam Pengajian Islam.

Saya percaya majikan boleh mainkan peranan untuk membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Peserta Program Internship Pengajian Islam 2016 di sini, hari ini.

Seramai 29 pelajar dipilih untuk ditempatkan di syarikat-syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi tujuan latihan praktikal selama empat minggu.

Khairy berkata perkembangan industri halal dan sektor kewangan Islam pada hari ini diharap mampu membuka peluang pekerjaan kepada siswazah pengajian Islam.

“Ini merupakan satu perkembangan positif buat mereka, kita boleh cantumkan kemahiran di dalam bidang Islam dan ilmu kewangan supaya menjadi bakal pekerja yang lebih lengkap,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta megulas mengenai cadangan penubuhan parti baharu oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, tidak menjadi halangan untuk mana-mana pihak menubuhkan parti baharu.

“Saya alu-alukan penubuhan parti baharu ini, kita sedia berhadapan dengan mereka semasa pilihan raya yang akan datang, lagi pun ini bukan perkara yang baru kita pun pernah ada Semangat 46 sebelum ini,” katanya.

Baru-baru ini, Dr Mahathir mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baharu yang akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi PRU ke-14. – BERNAMA