Majlis Persaraan Pengetua Di Kulim Tema "Ala Bangsawan"

Ahmad (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama guru Kolej Tingkatan Enam Kulim.
KULIM - Gaya ala pahlawan Melayu duduk di singgahsana menjadi simbolik tema bangsawan sempena majlis persaraan pengetua Kolej Tingkatan Enam Kulim, baru-baru ini.

Ahmad Sulong Ismail, 60, segak mengenakan busana Melayu berkhidmat di sekolah itu sejak April 2014 dan menjadi pengetua pertama yang bersara.

Tema bangsawan dipilih kerana beliau meminati sastera dan menjadi guru sastera sepanjang berkhidmat sebagai pendidik.

Guru Publisiti, Aniza Che Omar berkata, sebelum acara kemuncak itu bermula pengetua bersama guru dan pelajar lain mengadakan aktiviti konvoi mengayuh basikal dari rumahnya sehingga ke sekolah.

"Selepas itu, beliau merasmikan surau sekolah yang baru dibina serta menanam pokok sebagai simbolik persaraannya.

“Kita mahu memberi peluang kepada beliau untuk meninggalkan kenangan ini," katanya.

Menurutnya, majlis seterusnya turut diserikan dengan tarian Mak Yong daripada Istana Negara bagi memeriahkan lagi suasana.

“Pengetua berpeluang duduk di atas singgahsana yang dihias cantik serta ditemani dayang-dayang sambil melihat tarian Mak Yong,” katanya.

Aniza berkata, perjalanan pulang Ahmad kemudiannya diiringi 22 motosikal berkuasa tinggi dari sekolah ke kediamannya di Taman Mewah Lunas.

Dalam pada itu, Ahmad berterima kasih kepada warga sekolah kerana kesudian mengadakan majlis persaraannya.

“Saya sungguh terharu, semoga sekolah ini akan terus maju dan melakar kejayaan yang cemerlang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian