Malaysian Insider Dah Mati, Tak Akan Hidup Semula - Bekas Editor


Bekas Ketua Pengarang The Malaysian Insider (TMI), Jahabar Sadiq menafikan sebarang penglibatan dalam kemunculan semula portal dalam talian itu seperti yang diperkatakan.

Selepas gambar laman web baharu yang dikatakan itu mula tersebar di media sosial Selasa, Jahabar segera menafikan andaian bahawa beliau atau sesiapa sahaja yang dikenalinya berada di sebalik kemunculan portal itu.

"Semua orang menulis ini di Twitter dan Facebook tetapi ini tidak ada kena mengena dengan saya. The Malaysian Insider telah 'mati' pada 15.3.2016," katanya di Twitter.

Halaman 'selamat datang' dalam laman baharu itu dengan alamat berbeza, menunjukkan logo TMI dan kiraan masa menjelang pelancarannya dengan kata-kata 'Kembali Dengan Kebenaran'.

Jahabar yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif TMI, berkata di laman Facebook bahawa hak cipta portal berita itu adalah milik The Edge Media Group sahaja.

"Nama, hak cipta, semua data adalah hak milik The Edge Media Group. Tiada siapa lagi yang mempunyai hak ke atasnya, dan sekarang, tidak ada yang saya tahu mahu menghidupkannya semula dengan gaya atau nama yang sama.

"Sesiapa yang melakukannya dia sedang menipu anda," katanya.

Beliau berkata orang ramai akan dimaklumkan jika bekas pasukan editorial memutuskan untuk menghidupkan semula portal berita itu.

The Edge Media Group menutup TMI pada 15 Mac, atas alasan komersial.

Sumber: mStar