Mangsa Hairan Singapura Gagal Kesan Virus Zika


SINGAPURA – Di sebalik kecanggihan teknologi tinggi Singapura yang sering ‘dabik dada’ konon amat pakar dalam bidang perubatan moden, kemunculan lebih 50 kes virus Zika tiba-tiba mengejutkan banyak pihak di seluruh dunia.

Apatah lagi ia disebabkan penularan akibat nyamuk aedes di Singapura sendiri; bukan dibawa masuk dari Brazil, negara asal virus itu; walhal tahap disiplin kebersihan di republik itu amat tinggi sehingga sukar ditemui sampah waima sepuntung rokok pun dibuang di jalanan.

Namun pendedahan pihak berkuasa Singapura mengenai jumlah besar penghidap Zika; bahkan bilangan paling tinggi di benua Asia, mencetuskan tanda tanya dan sebuah akhbar tempatan, TODAY yang menemui salah seorang mangsa melaporkan tidak tahu dijangkiti.

Mula dikesan di benua Afrika pada dekad 1960-an, virus Zika yang dibawa oleh nyamuk aedes dikaitkan dengan serangan terhadap sel-sel otak janin serta mengakibatkan mikrosefali, iaitu saiz kepala bayi yang menjadi lebih kecil daripada biasa dan otak yang kurang terbina.

Mohammed Firdaus Lim mendakwa tiba-tiba sahaja mengalami gatal-gatal dua selama hari setelah demam, namun selepas menjalani tiga kali ujian darah dan air kencing di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada 25 Ogos, beliau malah dibenarkan pulang ke rumah seperti biasa.

Dua hari kemudian, lelaki berusia 44 tahun yang menetap di Blok 54 Sims Drive terkejut besar apabila dimaklumkan bahawa beliau mungkin dijangkiti virus Zika dan perlu kembali semula ke jabatan kecemasan hospital tersebut bagi menjalani rawatan lanjut.

Beliau diuji sebagai positif virus Zika dan segera dimasukkan ke Pusat Penyakit Berjangkit (CDC). Pada waktu itu, hanya terdapat dua persoalan di benak fikiran isteri beliau, Ratnawati Mohd. Yusoff, 55 tahun: Apa itu Zika dan bagaimana suami beliau dijangkiti?

Mohammed Firdaus adalah antara 56 pesakit yang disahkan dijangkiti virus Zika oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada 28 Ogos. Beliau juga merupakan pesakit angin ahmar yang tidak boleh bergerak sendiri dan tidak keluar rumah dua minggu sebelum mengalami demam.

Setelah dibenarkan doktor untuk pulang semula ke rumah dari TTSH pada Khamis lalu, beliau dan isteri sempat lagi pergi ke Hougang, Upper Serangoon Crescent dan Balestier, dua hari berikutnya untuk membeli pelbagai barang keperluan.


Ratnawati juga berasa hairan mengapa pihak hospital tidak dapat mengesan virus itu masa ujian pertama dijalankan malah mendakwa: “Mereka sudahpun mengesan pesakit lain yang dijangkiti Zika, maka sepatutnya tahu tentang jangkitan itu dan boleh kesan lebih awal.”

Semasa kunjungan pertama suami beliau ke TTSH, ujian air kencing menunjukkan tanda-tanda jangkitan, namun beliau mendakwa bahawa doktor merujuk kepada angin ahmar dan kencing manis yang dialami M0hammed Firdaus sebagai kemungkinan punca jangkitan.

Setelah beliau disahkan mengalami jangkitan virus Zika, Ratnawati bertambah bimbang dengan keadaan kesihatan suaminya, yang mengalami kerosakan pada bahagian otak akibat dua serangan angin ahmar pada tahun 2012 dan 2013 lalu.

“Kemudian anda bayangkan ditambah pula dengan Zika… Siapa yang anda rasa berada dalam kesakitan?” katanya. Namun Mohammed Firdaus bernasib baik kerana beliau sembuh sepenuhnya semasa berada di CDC dan dibenarkan pulang pada 29 Ogos lalu.

Para doktor tempatan memberitahu Ratnawati supaya memastikan sekitaran rumah mereka sekeluarga bersih dan menggunakan pelekat pembunuh nyamuk. Virus Zika biasanya dibawa oleh nyamuk Aedes, yang juga lazim dalam menularkan penyakit denggi.

Lucunya, pada malam Ahad, para pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) tidak menjumpai sebarang pembiakan nyamuk di rumah mereka setelah menjalankan pemeriksaan dan proses pengabutan juga dilaporkan dilakukan di luar rumah mereka semalaman.

Kes pertama melibatkan seorang wanita bertaraf penduduk tetap yang berasal dari Malaysia dan berusia 47 tahun mencetuskan panik di Singapura kerana mangsa dilaporkan tidak pernah langsung pergi ke Brazil sekali gus membuktikan Zika sudah berada di republik itu.

MOH dan NEA menyatakan bahawa majoriti pesakit Zika tidak menunjukkan sebarang tanda atau hanya sedikit tanda. Pengasingan bagi kes-kes positif mungkin tidak mempunyai kesan ketara dalam mencegah penularan jangkitan, menurut pihak berkuasa republik itu.

Jika terdapat simptom seperti demam, gatal-gatal, sakit kepala, sengal-sengal sendi dan otot dan juga radang pada bahagian mata (merah mata), ia lazimnya berlaku dalam tempoh antara tiga dengan 12 hari dan bertahan antara empat dengan tujuh hari.

Berita buruknya, setakat ini ini belum ada lagi sebarang vaksin atau rawatan tertentu terhadap virus tersebut dan yang ada ketika ini pun hanya untuk meringankan simptom-simptom, menurut MOH menerusi laman sesawangnya. – Agensi